PUTRAJAYA: Seorang lagi individu ditahan reman bagi membantu siasatan
membabitkan kes projek terowong dasar laut dan tiga lebuh raya di Pulau
Pinang.
Kali ini Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mendapat
perintah reman terhadap seorang Datuk Seri yang juga bekas pengerusi
syarikat perunding kejuruteraan.
Perintah reman lima hari bermula hari ini hingga 30 Januari ini
dikeluarkan Majistret Ainna Sherina Saipolamin di Mahkamah Majistret
Putrajaya di sini, sebentar tadi.
Datuk Seri berusia 62 tahun itu disyaki terbabit dalam penyediaan
dokumen tuntutan palsu bagi kajian kebolehlaksanaan projek itu lebih
RM305 juta yang dikemukakan kepada kerajaan Pulau Pinang.
Dia ditahan semalam sejurus hadir di ibu pejabat SPRM di sini pada jam 2.44 petang, semalam.
Difahamkan, firma kejuruteraan diterajui suspek yang berpejabat di
Kuala Lumpur sebelum ini dikatakan pernah terbabit dalam pelbagai projek
mega termasuk pembinaan sebuah jambatan di Pulau Pinang, terminal bas
di ibu negara dan projek naik taraf sebuah lapangan terbang negeri.
Dengan penahanan suspek, sehingga hari ini seramai empat individu sudah
ditahan bagi membantu siasatan berhubung kajian yang menelan kos lebih
RM305 juta itu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan