Rabu, 17 Januari 2018

Selgate yakin pendaftaran Skim Peduli Sihat terus meningkat

OLEH AFIX REDZUAN




SHAH ALAM: Kumpulan Selgate optimis meningkatkan jumlah pendaftaran Skim Peduli Sihat bagi 2018, selain mensasarkan lebih banyak pembayaran tuntutan daripada klinik panel berdaftar setiap bulan.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Noor Hisyam Ghouth berkata, sehingga 31 Disember 2017, seramai 286,667 keluarga atau 1.147 juta orang sudah mendaftar dan ia melepasi sasaran awal 250,000 keluarga, di Selangor.

“Sepanjang 2017, kita sudah membuat bayaran balik tuntutan berjumlah RM11.3 juta kepada klinik yang berdaftar dengan program ini.

“Untuk tahun ini, kita akan teruskan dan sekarang pemahaman masyarakat terhadap program ini lebih mendalam dan saya jangka penggunaan akan lebih banyak selepas ini,” katanya kepada SelangorKini.

Berdasarkan rekod, katanya, sebanyak RM1 juta tuntutan bayaran balik dilakukan setiap bulan secara purata dan bulan Disember mencatatkan jumlah tertinggi sebanyak RM3.2 juta.

Mengulas pertemuan bersama Exco Kesihatan, Kebajikan, Hal Ehwal Wanita dan Keluarga, Dr Daroyah Alwi baru-baru ini, Noor Hisyam berkata, pihaknya mengemukakan beberapa usul untuk menambah baik program itu, namun ia memerlukan kelulusan Kerajaan Negeri sebelum diumumkan.

Pada Belanjawan 2018, Kerajaan Negeri memperuntukkan tambahan RM20 juta bagi meneruskan program Skim Peduli Sihat.

Bagi pelakasanaan Skim Kesihatan Bersepadu, Kerajaan Negeri memperuntukkan RM44.1 juta membabitkan penjagaan asas kesihatan antaranya rawatan jantung, suntikan vaksin pneumokokal, penjagaan kesihatan mental, perkhimatan penjagaan paliatif bagi pesakit kanser serta insuran kesihatan untuk penjawat awam juga pesawah.

Tiada ulasan: