Oleh Athirah Hanapiah
SHAH ALAM: PPBM sudah mengikut ketetapan Jabatan Pendaftaran (RoS)
dengan mengadakan mesyuarat agung tahunannya (AGM), 30 Disember lalu,
demikian tegas ketua pemudanya, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.
Beliau bagaimanapun tidak memerincikan adakah pemuda PPBM di peringkat
Bahagian atau Cawangan mengadakan mesyuarat untuk memilih perwakilan
bagi menghadiri AGM partinya itu.
Syed Saddiq sebelum itu ditanya perihal bekas Naib Presiden PPBM, Datuk
Hamidah Othman yang bertanyakan bagaimana sayap pemuda parti itu
memilih perwakilan bagi menghadiri AGM sedangkan tiada mesyuarat di
peringkat Bahagian dibuat.
"Itu (mesyuarat pilih perwakilan) kita dah ikut cadangan RoS, kita ikut
apa yang RoS katakan, dan kita akur dengan apa yang RoS katakan dan
rasanya RoS lebih tahu.
"Kita ikut apa yang sudah kita bincangkan dengan RoS, itu yang paling penting," katanya ringkas ketika dihubungi Antarapos.
30 Disember lepas, PPBM mengadakan AGM pertamanya yang dihadiri 941
perwakilan daripada 137 bahagian di Pusat Konvensyen Ideal (IDCC) Shah
Alam, selepas berdepan ancaman pembubaran parti oleh RoS.
RoS sebelum itu menyenaraikan tiga kesalahan PPBM yang merisikokan
parti itu dibubarkan. Pertama tidak mengadakan AGM parti selepas setahun
ditubuhkan, kedua menangguhkan AGM tanpa mengikut perlembagaan dan
ketiga menamakan sayap pemuda sebagai Armada, juga melanggar akta yang
digubal mereka sendiri.
Ketiga-tiga kesalahan itu, jika tidak ditangani PPBM akan menyebabkan pendaftaran partinya terbatal, dakwa RoS.
Syed Saddiq dalam pada itu turut memaklumkan PPBM akur untuk tidak
memakai nama Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) buat sementara waktu
sehingga perkara itu diuruskan mengikut kehendak RoS.
"Sekarang kita gunakan pemuda untuk sementara waktu, kita pun akur dengan keputusan RoS, jadi kita ikut dulu," ujarnya lagi.
Sebelum ini, Ketua Pengarah ROS Surayati Ibrahim memberitahu bahawa
PPBM boleh diharamkan jika terus menggunakan nama Armada untuk sayap
pemudanya.
Surayati berkata ia kerana istilah Armada tidak pernah diluluskan dalam
perlembagaan parti itu, justeru melanggar Akta Pertubuhan 1966.
Kemelut yang dihadapi PPBM ini turut mengheret Pakatan Harapan (PH)
apabila ia menggangu proses pendaftaran gagasan itu untuk bernaung di
bawah satu logo pada Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.
Selain masalah PPBM, PH juga terkesan dengan krisis dalaman DAP yang
menyaksikan parti itu perlu mengadakan semula pemilihan jawatankuasa
eksekutif pusatnya (CEC) November lalu, selepas pemilihan terdahulunya
dibuktikan tidak sah oleh RoS.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan