Jumaat, 5 Januari 2018

Polis mahu selesai rakam kenyataan Isa hari ini

ANTARAPOS
 
Post Pic
 
 
KUALA LUMPUR: Proses rakaman percakapan bekas pengerusi FELDA, Tan Sri Isa Samad dijangka diselesaikan hari ini juga, kata Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK), Datuk Amar Singh Ishar Singh.
 
Siasatan yang dijalankan di ibu pejabat JSJK Bukit Aman di Menara 238, Jalan Tun Razak, di sini, masih diteruskan selepas berhenti rehat tengah hari tadi untuk solat Jumaat.
 
"Pihak kami masih meneruskan proses merakam percakapan beliau (Isa) untuk mendapatkan segala butiran lanjut bagi melengkapkan siasatan kes berkenaan.
 
"Justeru, kita berusaha menghabiskan proses rakaman kenyataan hari ini juga," katanya ketika ditemui di perkarangan Menara 238, di sini, sebentar tadi.
 
Katanya, Isa adalah individu ke sembilan yang diambil keterangan bermula jam 10.30 pagi tadi, sehingga jam 12 tengah hari.
 
Proses berkenaan bersambung kembali sekitar jam 2.30 petang selepas solat Jumaat.
 
Siasatan berkenaan dijalankan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan atas kesalahan melakukan penipuan.
 
Sementara itu BH Online melaporkan, usaha pihak media merakam kehadiran Isa sepanjang berada di Menara 238, gagal selepas dia dipercayai menggunakan laluan lain ke tingkat atas dengan tidak melalui laluan utama di bangunan berkenaan.
 
Isa dipanggil berhubung penjualan keempat-empat lot tanah di Jalan Semarak bernilai RM270 juta yang kini dimiliki oleh sebuah syarikat swasta.
 
Susulan itu, Pengerusi Felda Tan Sri Shahrir Abdul Samad memberitahu pihaknya telah membuat satu laporan polis pada 12 Disember lalu dan akan mengambil tindakan sivil kepada syarikat swasta berkenaan kerana dipercayai menyalahgunakan kuasa.
 
Felda seperti dilaporkan Berita Harian, berisiko kehilangan hak ke atas tanah strategik di Jalan Semarak yang bernilai lebih RM200 juta apabila ia dipercayai bertukar hak milik menerusi transaksi yang diragui sejak 2015.
 
Tanah itu kini dimajukan dengan projek Kuala Lumpur Vertical City (KLVC) membabitkan tujuh menara, termasuk menara ikonik Felda dikenali sebagai KLVC Tower1A.
 
Media yang memetik sumber melaporkan, dipercayai pindah milik tanah itu dipercayai berlaku apabila Felda Investment Corporation Sdn Bhd (FIC) melantik sebuah syarikat tempatan sebagai pemaju utama pada 3 Jun 2014 dan diberikan surat kuasa wakil penuh (full power of attorney) bagi membangunkannya.
 
 

Tiada ulasan: