Jumaat, 26 Januari 2018

Polis akan ambil keterangan pelakon lepas tembakan tanpa lesen

TH EMALAYSIAN TIMES
 

PARIT: Polis akan memanggil seorang pelakon lelaki untuk memberi keterangan berhubung satu video yang tular memaparkan dirinya menembak menggunakan senapang patah tanpa memiliki lesen di Kampung Parit Jerman, Sitiawan.

Ketua Polis Daerah Perak Tengah Supt Mohamad Zainal Abdullah berkata pihaknya turut memanggil individu berumur 20-an yang juga rakan artis berkenaan kerana dipercayai merakam video tersebut pada 26 Julai 2016 bagi membantu siasatan.

Katanya hasil siasatan awal mendapati senapang patah tersebut adalah milik bapa saudara artis itu yang berumur 70 tahun yang memiliki lesen bagi senjata api itu dan warga emas itu telah memberi keterangan kepada polis semalam.

“Hasil siasatan semasa video dirakam, pelesen (bapa saudara) dikatakan sedang menembak seekor kera di belakang rumahnya yang juga ladang sawit. Pelakon tersebut yang tidak mempunyai lesen dikatakan mahu cuba menembak dan melepaskan dua tembakan ke udara,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Perak Tengah di sini hari ini.

Pelakon itu dijangka hadir ke IPD kira-kira pukul 2 petang nanti bagi memberi keterangan berhubung kejadian itu, katanya.

Mohamad Zainal berkata polis turut merampas senapang patah itu dan menurutnya kes disiasat mengikut Seksyen 41, Seksyen 8, dan Seksyen 39 Akta Senjata 1960 yang membawa hukuman penjara melebihi tujuh tahun atau denda tidak lebih RM10,000 atau kedua-duanya jika disabit kesalahan.– Bernama

Tiada ulasan: