KOTA BHARU: PKR Kelantan menyatakan kesediaan mereka untuk bertanding
di 15 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dan berharap diberi peluang
oleh Pakatan Harapan (PH) negeri.
Pengerusi PKR negeri, Ab Aziz Ab Kadir berkata, selain dari mengekalkan
lima kerusi DUN sedia ada PKR turut memohon 10 lagi tambahan kerusi
DUN.
Menurutnya ia selari dengan semangat dalam PH untuk bersama mengembleng
tenaga menempuh Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) akan datang.
"Sebelum ini PKR Kelantan telah bersetuju hanya bertanding dua kerusi
parlimen sahaja iaitu Tanah Merah dan Pasir Mas dan menyerahkan kerusi
parlimen Ketereh, Machang dan Tumpat kepada Bersatu (PPBM) secara
bertulis kepada PKR pusat.
"Justeru ada kewajaran dengan perkembangan ini setiap parti diberi
ruang yang sewajarnya. Tambahan pula negeri Kelantan mempunyai 45 DUN
dan diharapkan pimpinan HARAPAN (PH) boleh bersetuju dengan pengagihan
ini," katanya dalam kenyataan kepada media di Kota Bharu hari ini.
Sebagai rekod, pengagihan kerusi DUN Kelantan antara parti dalam PH setakat ini belum dimuktamadkan.
Bagaimanapun, Parti Amanah Negara (Amanah) dikatakan bakal bertanding
majoriti kerusi DUN negeri itu berbanding rakan-rakan parti yang lain.
Sementara itu, Ab Aziz berkata, PKR juga sedang berusaha memperkenalkan
bakal calon berpotensi di peringkat DUN yang telah dikenal pasti
terdiri dari mereka yang mempunyai latar belakang yang baik dan
dikenali.
"PKR Kelantan juga berharap semua pihak bertenang dalam isu calon di
mana-mana kerusi sehingga pimpinan tertinggi membuat keputusan dan
makluman," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan