Oleh Shuhaniza Said
KUALA LUMPUR: Cadangan PPBM untuk mengenakan penalti RM20 juta kepada
wakil rakyatnya yang lompat parti selepas menang dalam Pilihan Raya
Umum Ke-14 (PRU14), menandakan budaya curiga yang amat menebal dalam
parti itu.
Justeru bekas pengasas PPBM, Anina Saadudin memberi amaran kepada
rakyat agar berhati-hati memilih parti untuk diberi mandat pada pilihan
raya akan datang.
"Kalau antara mereka pun tak boleh percaya antara satu sama lain, macam
mana rakyat di luar nak percaya kepada mereka. Ini rakyat patut fikir,
bolehkah kita memilih sebuah kerajaan yang antara mereka sendiri pun tak
percaya antara satu sama lain. Indah khabar dari rupa," katanya kepada
Antarapos.
Beberapa hari lalu Ahli Majlis Tertinggi PPBM Tariq Ismail berkata
partinya sedang mengkaji rancangan membuat kontrak untuk mengikat calon
mereka daripada melompat parti selepas menang pada PRU14.
Menurutnya, langkah itu juga boleh melindungi PH jika memenangi PRU14
kerana berkemungkinan ahli Parlimen PH ditawarkan wang untuk melompat
parti.
Justeru katanya, PPBM bercadang mengenakan penalti RM20 juta kepada calon berkenaan.
Ujarnya lagi sekiranya diluluskan, PPBM akan mendapatkan nasihat peguamnya untuk menentukan sama ada jumlah itu munasabah.
"Ini negara demokrasi dan anda buat satu perjanjian kalau langgar
bai'ah (kena bayar) RM20 juta, ini mengarut, ini tak betul. Roh
demokrasi itu bukan caranya, saya tak setuju," kata Anina lagi sambil
menegaskan rakyat perlu memilih parti yang membawa kesejahteraan kepada
rakyat.
Sebelum ini, Pengarah Komunikasi Amanah, Khalid Samad dilaporkan
sebagai berkata, partinya juga sedia mempertimbangkan cadangan seumpama
itu, namun menegaskan, perjanjian berkenaan berbeza dengan bai'ah yang
diperkenalkan PAS.
Sementara itu PKR pula difahamkan mempunyai kontrak serupa yang perlu
ditandatangani calonnya pada PRU 2013, di mana ahli yang melanggar
kontrak mesti membayar sejumlah pampasan kepada parti.
Lafaz taklik bai'ah diwajibkan ke atas calon PAS di Kelantan pada
pilihan raya umum yang antara lain mengkehendaki mereka yang memenangi
kerusi kekal dengan parti itu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan