Pakatan Harapan (PH) Melaka telah mengemukan bantahan kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) berhubung perpindahan pengundi membabitkan beberapa Dun pagi semalam.
Bantahan tersebut dibuat bersama oleh Naib Pengerusi PH Melaka, Mohd Sofi Abdul Wahab, Adun Ayer Keroh, YB Khoo Poay Tiong dan Naib Pengerusi AMANAH Melaka Zairi, Suboh serta AJK AMANAH Kawasan Bukit Katill, Alimat Abu di pejabat SPR Melaka.
“Kami membuat bantahan terhadap pemindahan 134 pengundi Dun Bachang dan 22 pengundi Dun Bukit Baru yang di bawa dari luar dimasukkan dalam RDPT Suku Keempat tahun 2017.
“Mereka ini menggunakan alamat yang meragukan di mana 134 pengundi Dun Bachang menggunakan alamat yang sama iaitu No. 4, Kg Solok Baroh.
“Manakala 20 pengundi Dun Bukit Baru menggunakan alamat Bt 6 1/2 Kg Bukit Katil tanpa nombor rumah,” kata Sofi Wahab kepada Malaysia Dateline.
Sehubungan itu kata beliau, PH Melaka meminta SPR menyiasat perkara tersebut dan memastikan sama ada pengundi-pengundi yang dipindahkan ini benar-benar sahih dan bermastautin di alamat yang tertara atau sebaliknya.
“Kami dapati pengundi-pengundi yang dipindahkan ini beralamat di Bt 6 1/2 Kg Bukit Katil. Ini sepatutnya tidak boleh diterima kerana alamat yang digunakan tidak lengkap, tanpa nombor rumah.
“Sedangkan sewaktu pendaftaran, pengundi perlu menyatakan alamat yang lengkap,” kata Ketua AMANAH Bukit Katil itu.
Jelas beliau, perkara ini bukan kali pertama berlaku, dalam RDPT Suku Ketiga yang dikeluarkan pada bulan September lalu, pemindahan seperti ini lebih ketara kerana 30 orang pengundi yang dipindahkan menggunakan alamat setor pejabat Umno Bukit Katil.
Pada waktu itu tambahnya, PH telah membuat bantahan tetapi bantahan tersebut tidak diterima atas alasan PH gagal membuktikan bahawa pengundi-pengundi berkenaan tinggal di luar kawasan Bukit Katil, sedangkan pengundi yang menukar alamatlah sepatutnya membuktikan bahawa mereka merupakan pengundi yang sah di Bukit Baru.
“Kali ini kami berharap SPR akan menyiasat pengundi-pengundi yang dibantah ini dan memanggil mereka untuk perbicaraan.
“Pengundi-pengundi yang dipanggil itu nanti perlu membuktikan bahawa mereka adalah pengundi yang sah dan tinggal di Bt 6 1/2 Kg Bukit Katil,” kata beliau.
Sementara itu, Adun Ayer Keroh, Khoo Poay Tiong pula berkata, 22 nama pengundi Bukit Katil yang dikesan itu terdiri daripada mereka yang berbangsa Melayu, India, Cina dan juga Portugis.
“Nampaknya kesemua mereka (Satu Malaysia) tinggal di alamat yang sama,” kata beliau.
Tambah beliau, PH mengesyaki ada sesuatu yang tidak kena dan disebabkan itulah maka PH membuat bantahan di pejabat SPR hari ini
Tiada ulasan:
Catat Ulasan