Rabu, 17 Januari 2018

Mustahil pindah hak milik tanah Felda tanpa kos, kata peguam

 
Sepanjang lebih 16 tahun beramal sebagai peguam hartanah, Salkhukhairi Abd Sukor tidak pernah jumpa urusan pindah milik tidak melibatkan sebarang kos.


Salkhukhairi-Abd-Sukor
Tidak pasti pengecualian duti setem, yuran pendaftaran pindah milik tanah atau bayaran CKHT boleh didapatkan.

PETALING JAYA: Seorang peguam hartanah sukar mempercayai perpindahan hak milik tanah Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) di Jalan Semarak, Kuala Lumpur, yang menjadi tumpuan dalam kontroversi tukar hak milik mencurigakan baru-baru ini, tidak melibatkan sebarang kos.

Timbalan Presiden Persatuan Guaman Hartanah Malaysia (HartaGuam) Salkhukhairi Abd Sukor menyifatkan perkembangan itu sebagai “mustahil” dilakukan.

“Sepanjang saya beramal sebagai peguam hartanah selama lebih 16 tahun, saya tidak pernah jumpa lagi sesuatu urusan pindah milik itu tidak akan melibatkan sebarang kos.

“Berdasarkan undang-undang tanah, mendapat kembali geran tanah yang telah dipindah milik kepada pihak lain tidak akan membawa apa-apa erti, sehinggalah tanah tersebut didaftarkan pindah milik kembali (retransfer) daripada nama pihak tersebut kepada nama pihak kita di dalam suratan hakmilik (geran) tanah.

“Sekiranya ia melibatkan proses pindah milik semula (retransfer) sudah pasti ianya akan melibatkan kos.

Beliau menjelaskan antara kos-kos yang terlibat termasuklah yuran guaman, kos duti setem pindahmilik, kos pendaftaran pindah milik dan cukai keuntungan harta tanah (CKHT).

“Melainkan kita sendiri yang uruskan urusan retransfer tersebut tanpa melantik peguam, atau kita dapat ‘pengecualian khas’ duti setem pindah milik daripada LHDN atau kita di ‘waive’ kan daripada dikenakan yuran pendaftaran pindah milik di pejabat tanah, atau atas apa-apa sebab dikecualikan daripada dikenakan bayaran CKHT tersebut.

“Yang itu saya tak pasti boleh dapat ke tidak,” katanya.

Menurut Salkhukhairi, kebiasaannya dari segi amalan guaman hartanah, penerima pindah milik yang perlu menanggung sebahagian besar daripada kos retransfer tersebut manakala pemberi pindah milik perlu menanggung bayar CKHT sekiranya pindah milik semula tanah itu kurang daripada 5 tahun daripada tarikh tanah tersebut diterima sebelum ini.

“Rasanya elok Bahagian Undang-undang Felda dapat jelaskannya kepada masyarakat dan kepada kami pengamal undang-undang hartanah ini supaya ianya tidak menimbulkan pelbagai kekeliruan dan salah faham,” katanya.

Dua hari lalu, Felda dan Synergy Promenade Sdn Bhd (SPSB) menandatangani perjanjian persefahaman untuk mengembalikan hak milik semua 16 lot tanah di Jalan Semarak. Perpindahan tanah yang dilakukan dalam 4 transaksi jual beli pada Disember 2015 dan November 2016 diserahkan semula kepada Felda tanpa sebarang kos.

Sementara itu, seorang lagi peguam hartanah, Datuk Nazri Mustafa berkata kedua-dua pihak terlibat kena bersetuju untuk memulangkan semula tanah itu.

Presiden HartaGuam itu juga berkata pindah milik yang biasa memerlukan duti setem “ad valorem” atau menurut kadar yang ditetapkan ke atas nilai pasaran semasa tanah tersebut, dan cukai tanah dan cukai taksiran terkini hendaklah dibayar terlebih dahulu.

“Proses di atas menelan kos yang banyak kerana harga tanah Felda adalah tinggi,” katanya lagi.

Sebelum ini, Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan (Anak) meminta Pengerusi Felda Tan Sri Shahrir Samad mendedahkan balasan dijanjikan kepada SPSB untuk menyerahkan hak milik tanah tanpa sebarang kos.

“Tidak logik untuk syarikat tersebut menyerahkan semula tanah tersebut tanpa sebarang balasan. Untuk apa mereka perlu menanggung kerugian sebanyak RM270 juta,” kata Pengerusi Mazlan Aliman.

Dalam kenyataan sebelum ini, HartaGuam berkata memberi surat wakil kuasa penuh kepada pemaju samalah umpama menyerahkan sepenuhnya projek dan tanah tersebut kepada pemaju tanpa campur tangan daripada pemilik tanah.

“Dari segi perundangan hartanah, ianya suatu transaksi yang berisiko kerana boleh mendedahkan kepada penyalahgunaan kuasa oleh pemaju termasuklah kemungkinan tanah tersebut dipindahmilikkan kepada pihak ketiga tanpa pengetahuan Felda sendiri.”

Tiada ulasan: