Isnin, 15 Januari 2018

Kenyataan Nur Jazlan bukti Umno-BN semakin tercabar



Kenyataan Nur Jazlan bukti Umno-BN semakin tercabar


Kenyataan terdesak yang dikeluarkan oleh Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Nur Jazlan Mohamed yang mempersoalkan kenyataan demi kenyataan yang dibuat oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam tempoh tahanan membuktikan kerajaan semakin rasa tercabar.

Selain rasa tercabar, kerajaan juga merasa semakin panas dan tidak dapat menahan serangan demi serangan oleh rakyat terhadap mereka sejak kebelakangan ini.

Ekoran itu, mereka terpaksa mengalih serangan, termasuklah menghalakannya kepada Anwar walaupun menyedari tiada unsur hasutan yang dikeluarkan oleh pemimpin tersebut.

Demikian dinyatakan oleh Timbalan Ketua Pemuda AMANAH Nasional, Faiz Fadzil ketika ditemui selepas ceramah isu semasa di Bayan Baru, semalam.

Faiz Fadzil bersama pimpinan PH dalam program ceramah isu semasa di Bayan Baru semalam.

Menurut Faiz, kerajaan tahu Anwar mempunyai karisma tertentu serta mampu menggugat kedudukan mereka menjelang pilihan raya umum ke-14 (PRU14) yang begitu hampir.

“Kerajaan sememangnya sedar Anwar mempunyai karisma tertentu yang boleh menggerakkan semangat rakyat untuk bangkit dan menentang Umno-BN.

“Bagi menyembunyikan kebimbangan kerajaan terhadap Ketua Umum PKR tersebut, mereka cuba beralih mencari isu untuk dijadikan modal politik murahan dalam kedudukan yang semakin tersepit itu.

“KDN mahupun Jabatan Penjara harus bersikap profesional serta adil dan tidak menyekat kebebasan bersuara Anwar,” ujarnya.

Malah jelasnya lagi, sehingga kini apa yang disuarakan oleh Anwar adalah isu kepentingan rakyat serta usaha untuk menolak Umno-BN.

“Menjelang PRU14 akan datang, kita cabar BN untuk turun gelanggang sebagai ‘anak jantan’.

“Jangan guna helah, muslihat dan penipuan untuk sekat kemaraan kami dalam Pakatan Harapan (PH).

“Kenyataan terbaru ini juga seolah-olah sebagai satu taktik untuk membantutkan pembebasan Anwar pada awal Jun akan datang,” tegasnya lagi.

Faiz juga mengingatkan kerajaan supaya tidak merekacipta alasan yang remeh dalam usaha mereka untuk menyekat kemaraan Anwar serta PH.

“Kerajaan harus ingat, rakyat sudah tidak dapat dibohongi lagi dengan apa jua dakyah bikinan mereka kini.

“Biarpun setiap hari mereka serang AMANAH dengan pelbagai cerita dongeng, rakyat tidak mudah termakan lagi.

“Begitu juga dengan serangan terhadap Tun M, PKR maupun DAP, ia tidak sedikit pun mengurangkan semangat juang yang ada,” tambahnya lagi.

Justeru katanya, semakin banyak serangan yang dibuat oleh kerajaan terhadap PH, semakin bercambah simpati dan sokongan rakyat yang mahukan perubahan berlaku dalam PRU14 akan datang.

Tiada ulasan: