Jumaat, 26 Januari 2018

Insentif Perkahwinan Belia ringan beban golongan muda

OLEH SYAZWANI SUFIAN




DALAM usaha Kerajaan Negeri menggalakkan perkahwinan di usia muda, pasangan pengantin yang diijabkabul bakal menerima manfaat Program Insentif Perkahwinan Belia sebanyak RM500 seorang dari Pusat Khidmat DUN masing-masing.

Inisiatif itu bertujuan mensejahterakan rumah tangga dan keluarga khususnya anak Selangor atau yang bermastautin lebih 10 tahun.

Menerusi belanjawan selangor 2013, Menteri Besar Selangor mengumumkan pemberian insentif perkahwinan kepada belia yang layak sebanyak RM200, namun bermula 1 Januari 2014 insentif itu dinaikkan RM500 seorang.

Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali turut menjelaskan dalam Belanjawan 2018 yang lalu bahawa masa depan negara adalah dalam genggaman millennials.



Menyedari hakikat ini, Kerajaan Negeri menyediakan RM9.09 juta bagi tahun ini untuk pembangunan generasi muda termasuk Insentif Perkahwinan Belia berjumlah RM5 juta dan program generasi muda anjuran Penggerak Belia Tempatan (PeBT) berjumlah RM1.44 juta.

Program itu dipertanggungjawabkan YAWAS mulai Januari 2017 dan tahun ini ia berada di bawah Pengerusi Jawatakuasa Tetap Pembangunan Generasi Muda dan Sukan, Kebudayaan dan Pembangunan Usahawan.

Lanjutan berkaitan program itu, pasangan pengantin baru layak menerima insentif itu sekiranya mereka berkahwin untuk kali pertama sahaja.

Bantu bangun institusi kekeluargaan

Program itu juga, sekali gus dapat membantu menjimatkan kos pasangan khususnya bagi yang kurang berkemampuan memandangkan keadaan ekonomi negara semakin menghimpit rakyat.



Selain itu, ia adalah usaha berterusan Ke-rajaan Negeri melalui Inisiatif Peduli Rakyat dalam membangun jati diri golongan belia.

Insentif Perkahwinan Belia juga dilaksanakan dalam usaha meringankan bebanan pasa-ngan muda ekoran kenaikan harga barang serta kesan Cukai Barangan dan Perkhidmatan.

Cabaran ekonomi masa kini juga turut memaksa pasangan muda terikat dengan pelbagai komitmen yang menjerat me-reka dengan pelbagai kenaikan kos termasuk ketidaktentuan harga minyak.
Perbezaan Insentif Perkahwinan Selangor

Menariknya, insentif yang diperkenalkan di Selangor adalah terbuka kepada semua kaum tanpa mengira bangsa atau agama yang tinggal di negeri itu serta tiada sebarang had pendapatan isi rumah ditetapkan.

Selain itu, insentif ini tiada syarat seperti penilaian gaji pasangan akan diambil kira selain belia yang memohon adalah anak jati Selangor.

Pasangan boleh memohon dalam memohon dalam tempoh tiga bulan bermula dari tarikh nikah (bagi Islam) atau tarikh daftar perkahwinan (bagi bukan Islam).



Bagi mereka yang bernikah atau berkahwin bermula tarikh 1 Januari 2017, maka tempoh permohonan dilanjutkan sehingga setahun.

Manakala, Skim Bantuan Perkahwinan pula hanya terhad untuk golongan asnaf fakir, miskin dan mualaf Wilayah Persekutuan yang beragama Islam sahaja.

Skim itu juga akan diberikan tertakluk kepada pengiraan Had al Kifayah iaitu pengiraan yang digunakan dalam menentukan kelayakan permohonan untuk menerima bantuan zakat.

Ia mengambil kira keperluan asasi yang diperlukan oleh seseorang untuk meneruskan kelansungan hidup.

Jumlah pengiraan Had Al Kifayah akan dikira sebagai jumlah perbelanjaan bulanan yang diperlukan permohon dan kemudian dibandingkan dengan pendapatan isi rumah.

Sekiranya jumlah pengiraan lebih tinggi daripada pendapatan, maka pemohon adalah layak menerima.

Berbanding dengan insentif yang diberikan Kerajaan Negeri iaitu tiada had pendapatan yang diperlukan untuk menerima insentif terbabit.

Tiada ulasan: