Khamis, 18 Januari 2018

Gara-gara disangka babi hutan, petani maut tertembak

ANTARAPOS

Post Pic
 
 
TENOM: Gara-gara disangka babi hutan, seorang petani berusia 89 tahun maut tertembak pemburu lain ketika berburu di hutan di Kampung Kauran, Kemabong, dekat sini, semalam.
 
Dalam kejadian kira-kira jam 12 tengah hari itu, Amit Bies, dari Kampung Kauran, Kemabong, ditemui mati dalam keadaan terlentang di cerun bukit dengan kesan kecederaan lima lubang kecil, pada rusuk kanan, dipercayai terkena tembakan peluru jenis penabur.
 
Memetik laporan Berita Harian, ketika kejadian mangsa dipercayai sedang menunggu binatang di kawasan terbabit, sebelum terkena tembakan dilepaskan seorang lelaki lain, yang turut berburu di sekitar tempat sama.
 
Ketua Polis Daerah Tenom, Deputi Superintendan Mohd Firdaus Abdullah, berkata pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu pada jam 2.55 petang semalam selepas suspek berumur 34 tahun, ditemani abang iparnya membuat laporan di Balai Polis Tenom.
 
Katanya, berdasarkan siasatan, suspek bersendirian ke kawasan hutan berkenaan untuk berburu sebelum mendakwa ternampak babi hutan, di sebalik semak dalam jarak 15 meter.
 
"Suspek melepaskan tembakan sekali sebelum terdengar orang menjerit. Dia kemudian pergi melihat sendiri dan mendapati mangsa terkena tembakan dan mati di tempat kejadian.
 
"Berikutan kejadian itu, suspek pulang ke rumahnya di Kampung Kemabong Lama, sebelum memaklumkannya kepada abang iparnya sebelum membuat laporan polis," katanya.
 
Mohd Firdaus berkata, pemeriksaan polis di tempat kejadian menemui satu laras senjata api jenama STEVEN berisi sebutir peluru dalam laras serta 14 peluru dalam beg dipercayai milik mangsa.
 
"Susulan kejadian itu, polis menahan suspek serta merampas selaras senjata api buatan sendiri miliknya. Polis juga sedang mengesan seorang lelaki lain yang dikatakan pemilik asal senjata api buatan sendiri terbabit," katanya.
 
Beliau berkata, mayat mangsa dihantar ke Hospital Tenom untuk bedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.
 
 

Tiada ulasan: