JOHOR BAHRU: Seorang bekas pegawai eksekutif syarikat pengangkutan
dihadapkan ke Mahkamah Sesyen hari ini atas tiga tuduhan pecah amanah
RM864,000 sejak lapan tahun lalu.
Tertuduh, Chan Foo Chin, 64, bagaimanapun mengaku tidak bersalah
selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa di hadapan Hakim Mohd Fauzi
Nasir.
Dia didakwa menyalahgunakan dana syarikat DKSH Transport Agencies (M)
Sdn Bhd (DKSH) dengan meluluskan atau membenarkan pembayaran RM288,000
bagi kerja 'shunting' (pengalihan kontena) yang dijalankan sebuah
syarikat konsortium logistik di tiga lokasi berbeza dalam tempoh 12
bulan.
Tertuduh didakwa mengeluarkan cek bagi tujuan pembayaran untuk kerja
dijalankan konsortium berkenaan walaupun kerja terbabit tidak memerlukan
bayaran oleh DKSH.
Dia juga didakwa menerima jumlah yang sama dalam tiga transaksi di
pejabat DKSH di Jalan Keluli 12 Kawasan Perindustrian Pasir Gudang,
antara 27 Februari 2009, 28 Februari 2010 dan 11 Mei 2012.
Foo Chin didakwa mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan yang membawa
hukuman penjara maksimum 20 tahun dengan sebatan dan boleh didenda, jika
sabit kesalahan.
Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah
(SPRM), Khazrin Hafiz Halil, manakala tertuduh diwakili peguam, Sukhaimi
Mashud.
Tertuduh dibenarkan ikat jamin RM150,00 dan diperintah menyerahkan pasportnya kepada mahkamah.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan