Ruang rundingan untuk PKR bertukar kerusi Parlimen Lumut yang disandangnya pada masa ini masih dibuka, kata Setiausaha AMANAH Perak, Salman Saleh.
Menurutnya, AMANAH pada mulanya tidak menyenaraikan Lumut untuk meletakkan calon bertanding tetapi pihaknya menerima terlebih dahulu keputusan agihan Parlimen baru-baru ini.
“Lumut mulanya tiada dalam senarai kita. Setakat ini, kita terima dulu, sebab sudah masuk dalam kantung kita. Tapi ruang rundingan untuk tukar masih ada lagi.
“Jika PKR rasa nak bincang balik untuk Lumut, kita buka perbincangan. Terpulang pada PKR. Tapi setakat ini, bila sudah diagih kepada AMANAH, kita kena mulakan kerja,” jelasnya ketika dihubungi Malaysia Dateline hari ini.
Ujarnya, mana-mana kerusi yang dimenangi pada pilihan raya sebelum ini wajar terus diwakili parti berkenaan tetapi bagi kes Lumut, beliau tidak pasti faktor PKR menolak untuk meletakkan calon di Parlimen itu.
“Yang ada dalam senarai AMANAH, pada mulanya adalah Bukit Gantang. Memang sasaran kita untuk bertanding antara empat atau lima (kerusi Parlimen) saja.
“Cuma Lumut itu bila kita dapat, pening juga sebab PRU-13 lepas, PKR menang dengan majoriti lebih 8,000 undi. Patutnya, kerusi yang mana-mana parti sudah menang, kita tidak harus usik. Siapa yang menang, dia yang meneruskan,” katanya.
Ditanya jangkaan PKR akan tewas jika terus bertanding di Lumut, Salman bagaimanapun tidak pasti tentang kemungkinan tersebut.
“Itu saya tidak pasti sebab PKR menang besar di Lumut pada PRU-13. Mungkin ada penilaian lain. Mungkin sebab ada kaitan dengan persempadanan baru,” ujarnya lagi.
Penyandang kerusi Parlimen Lumut, Mohamad Imran Abd Hamid menang dengan majoriti sebanyak 8,168 undi pada PRU-13 menewaskan calon BN, Datuk Seri Kong Cho Ha.
Mengulas keputusan AMANAH Perak menukar kerusi Bukit Gantang dengan Kuala Kangsar yang sebelum itu diagih kepada Bersatu, Salman berkata, terdapat beberapa penilaian telah dibuat.
“Kita ada penilaian-penilaian yang kita buat untuk putuskan begitu. Umumnya, kekuatan kita di Kuala Kangsar dan Bukit Gantang hampir seimbang.
“Namun, disebabkan kita perlu membuat pilihan, maka AMANAH sepakat dengan PPBM untuk bertukar kerusi. Itu yang jadi negitu,” ujarnya.
AMANAH pada PRU-14 akan bertanding di empat kerusi iaitu Parit, Parit Buntar, Lumut, Kuala Kangsar manakala PPBM bakal meletakkan calon di lapan kawasan Parlimen termasuk Bukit Gantang.
Selain itu, Bersatu akan bertanding di Larut, Lenggong, Tambun, Bagan Serai, Gerik, Tapah dan Pasir Salak.
Sementara itu, bagi pembahagian kerusi Dewan Undangan Negeri (Dun), Salman memberitahu sudah 90 peratus selesai dan bakal dimuktamadkan akhir bulan ini.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan