THE MALAYSIAN TIMES
PUTRAJAYA: Dua anggota polis trafik yang sedang memberi bantuan kepada sebuah kenderaan yang mengalami kerosakan di kawasan susur masuk berhampiran Hotel Sama-Sama, Sepang dekat sini, cedera setelah kenderaan tersebut dirempuh kenderaan lain dalam satu insiden awal pagi ini.
Kedua-dua anggota polis trafik dari Ibu Pejabat Polis Daerah Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) itu iaitu Lans Koperal Suzaili Mohd Marzuki, 31, dan Lans Koperal Abd Mutalib Ismail, 40, cedera di bahagian kepala dalam kejadian kira-kira 6.45 pagi itu.
Menurut jurucakap polis, kereta yang mengalami kerosakan itu dirempuh dari belakang oleh sebuah van yang menyebabkan kereta itu maju ke hadapan dan terkena dua anggota polis trafik berkenaan.
Jurucakap polis itu berkata pemandu van tersebut telah ditahan untuk siasatan.
Kedua-dua anggota polis trafik berkenaan dirawat di Hospital Putrajaya. Keadaan mereka dilaporkan stabil.–Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan