SHAH ALAM: PAS tidak wajar meletakkan syarat kepada PKR supaya keluar
daripada Pakatan Harapan (PH) sekiranya ingin kedua-dua parti itu terus
menjalinkan kerjasama politik, kata Setiausaha PKR Selangor, Amirudin
Shari.
ADUN Batu Caves itu berkata, desakan itu dilihat tidak selari dengan
matlamat PKR yang mengamalkan keterbukaan dengan semua parti pembangkang
bagi membentuk kesatuan yang utuh terutama dalam menghadapi Pilihan
Raya Umum ke-14 (PRU14).
"PKR masih berpegang kepada pandangan bahawa semua parti pembangkang
perlu ada kesatuan dan kita juga sedang berusaha ke arah itu.
"Semua orang boleh beri cadangan termasuk PAS, namun kami konsisten
dengan pendirian Datuk Seri Anwar Ibrahim (Penasihat PKR) dan Datuk Seri
Mohamed Azmin Ali (Timbalan Presiden PKR) sebelum ini bahawa kesatuan
semua pembangkang itu menjadi keutamaan kami," katanya mengulas
perkembangan berhubung rundingan dengan PAS.
Beliau terdahulu menghadiri Perbincangan Meja Bulat Belanjawan Selangor 2018 di sini hari ini.
Naib Ketua Dewan Pemuda PAS, Ahmad Fadhli Shaari semalam berkata bahawa
partinya hanya akan membuka pintu rundingan dengan PKR sekiranya ia
meninggalkan PH.
Gabungan pembangkang itu terdiri daripada tiga lagi parti iaitu Parti
Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Amanah dan DAP, yang mana kedua-duanya
merupakan seteru PAS.
Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam suratnya awal bulan ini
mengakui beliau mempersetujui rundingan antara partinya dengan PAS.
Malah Anwar turut mengingatkan pemimpin PKR supaya tidak memutuskan
hubungan dengan PAS selagi parti Islam itu bersedia untuk meneruskan
perbincangan, selain menegaskan dasar PKR adalah tidak memusuhi PAS.
Majlis Presiden PH pada awal bulan lepas mengumumkan gabungan itu
menolak sebarang kerjasama dengan PAS, dan bersedia mengatur strategi
untuk menghadapi saingan tiga penjuru pada PRU14 kelak.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan