Sunday, September 10, 2017

Pasar besar Seremban dijilat api

ANTARAPOS.COM

Post Pic
 
 
SEREMBAN: Bunyi letupan yang kuat dan gegaran dirasai pekerja Pasar Besar Seremban, di Negeri Sembilan sebelum api yang marak menjilat bahagian atas pasar berkenaan dalam kebakaran kira-kira pukul 7.30 malam tadi.
 
Salah seorang pekerja pasar berkenaan yang hanya mahu dikenali sebagai Chua Bo Ching, 49, berkata sebelum kejadian dia berada di tingkat bawah menjalankan kerjanya seperti biasa iaitu menimbang stok sayur daripada lori dan secara tiba-tiba dia terdengar bunyi letupan yang sangat kuat dan terasa ada gegaran di tempat dia berdiri.
 
"Kebakaran berlaku selepas bunyi letupan itu dan peniaga di sebelah kedai saya mengetuk zink memanggil saya dan beritahu bahawa pasar sudah terbakar.
 
Kemudian saya pandang ke atas dan melihat tingkat atas pasar sudah terbakar, saya dan rakan-rakan lain berlari menyelamatkan diri... beberapa minit kemudian pihak bomba sampai," katanya yang dipetik sebuah agensi portal berita di Seremban, malam tadi.
 
Lee Kian Mun, 44, yang merupakan peniaga di tingkat bawah berkata kebakaran tersebut dipercayai bermula di bahagian medan selera tingkat atas bangunan pasar berkenaan dan api telah merebak sangat cepat sehingga satu tingkat dijilat api.
 
"Saya tidak sangka api merebak sangat cepat kerana kawasan pengudaraannya terbuka dan lebih saya kesian apabila kedai kawan-kawan saya yang menjual baju, seluar, beg dan beberapa peralatan lain juga telah musnah terbakar," katanya.
 
Pasar Besar Seremban mempunyai dua tingkat yang mana tingkat bawah menjual barang basah manakala tingkat atas antaranya terdapat medan selera, kedai menjual pakaian dan buah-buahan.
 
Sementara itu, Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Negeri Sembilan Norazam Khamis berkata 40 anggota daripada Balai Bomba Seremban, Seremban 2, Senawang dan Nilai ditugaskan bagi kerja-kerja memadamkan kebakaran melibatkan enam buah jentera dan sebuah water tanker.
 
"Berdasarkan siasatan awal, dipercayai api bermula di bahagian tengah yang merupakan kedai makan sebelum merebak dengan cepat ke bahagian lain," katanya.
 
Bomba mengambil masa selama sejam untuk mengawal kebakaran dan bahagian atas pasar berkenaan musnah keseluruhannya, bagaimanapun bahagian bawah berjaya diselamatkan.
 
"Kita akan ambil alih pasar ini selama 14 hari bermula hari ini untuk kerja-kerja forensik," katanya.
 
Katanya setakat ini pihaknya tidak menerima laporan mengenai mangsa dan anggaran kerugian belum dapat ditafsirkan.
 
Yang Dipertua Majlis Perbandaran Seremban Datuk Abdul Halim Abdul Latif pula berkata difahamkan sebelum kejadian terdapat petir yang sangat kuat namun perkara itu akan dirujuk kepada pihak bomba bagi memastikan sama ada ia benar-benar ada dan berkaitan dengan kebakaran.
 
Katanya sebanyak 197 buah kedai terdapat di tingkat atas pasar termasuk kedai makan, kedai bunga dan kedai buah.
 
Mengulas mengenai nasib para peniaga, Abdul Halim berkata pihaknya akan berunding dengan kerajaan negeri untuk membuat pelan tindakan bagi membantu dan memudahkan peniaga terjejas supaya dapat meneruskan perniagaan.
 
"Untuk masa terdekat ini, esok saya akan datang semula untuk lihat apa yang boleh kita lakukan, petang esok saya akan panggil Ahli Majlis untuk berbincang dengan peniaga pasar tentang pelan tindakan yang terbaik untuk jangka masa terdekat.
 
Kalau boleh, baiki semula, kita akan panggil perunding lihat setakat mana kerosakan berlaku dan kalau sesuai digunakan akan tengok juga dari bekalan airnya termasuk kabel-kabel elektriknya,” katanya.
 
Dalam kejadian itu, Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Seri Mohamad Hasan tiba di lokasi kejadian kira-kira pukul 10.40 malam bagi meninjau keadaan.
 
 

No comments: