Tuesday, September 26, 2017

PAS tidak halang DAP tanding di Kelantan

Oleh Shuhaniza Said & Athirah Hanapiah
Post Pic
 
 
SHAH ALAM: PAS Kelantan tidak menghalang sekiranya Pakatan Harapan (PH) termasuk DAP mahu bertanding di mana-mana kerusi di negeri itu. 
 
Timbalan Pesuruhjaya III PAS Kelantan, Datuk Dr Mohamed Fadzli Hassan bagaimanapun berkata, jika benar PH mahu menumbangkan Umno, mereka tidak akan memilih untuk bertanding di kerusi yang ditandingi PAS.   
 
"Kita tak ada apa-apa hubungan dengan PH, kita akan fokus kepada lawan iaitu Umno dan BN. Kalau PH nak letak siapa-siapa pun kita akan lawan. Kita tak boleh larang sebab kita hormati hak parti politik dalam negara demokrasi. 
 
"Cuma nasihat kita, kalau betul PH nak pastikan Umno kalah, sepatutnya mereka tak ganggu (kerusi PAS). Sebab perlawanan sebenar adalah antara PAS dengan Umno," katanya kepada Antarapos. 
 
DAP dijangka meletakkan calon mereka buat julung kalinya di kerusi DUN Kelantan pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) akan datang.
 
Timbalan Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Kelantan, Datuk Wan Abdul Rahim Wan Abdullah mengesahkan wujud permintaan daripada DAP sebelum ini untuk bertanding di kerusi DUN.
 
Difahamkan DAP mungkin akan bertanding di dua kerusi DUN iaitu Kota Lama, Kota Bharu dan Galas, Gua Musang.
 
Pada ketika ini kerusi DUN Kota Lama disandang oleh PAS menerusi Datuk Anuar Tan Abdullah yang berjaya menewaskan calon MCA, Tan Ken Ten.
 
Kota Lama adalah kawasan DUN yang mempunyai pengundi Cina paling ramai, iaitu satu per tiga daripada kira-kira 30,000 pengundi.
 
Sementara itu kerusi DUN Galas disandang oleh BN menerusi Abdul Aziz Yusof.
 
Ketika ditanya mengenai kebimbangan terhadap peralihan undi Cina di Kota Lama terhadap DAP, Mohamed Fadzli berkata beliau yakin pengundi di kawasan itu lebih bijak menilai. 
 
"Tiada perubahan di kalangan rakyat, Insya-Allah. Rakyat akan terus beri sokongan kepada PAS," ujar ADUN Temangan itu. 
 
Sementara itu, ADUN Bukit Panau, Datuk Abdul Fattah Mahmood turut senada, sambil menambah tindakan PH meletakkan calon di kerusi PAS menunjukkan gabungan itu semakin hilang arah.   
 
"Kalau mereka fokus mahu menjatuhkan BN, mereka perlu cari tempat yang boleh membantu mengalahkan BN, bukan datang lawan PAS. Ringkasnya, mereka sudah tidak ada fokus," katanya yang juga Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan, Belia dan Sukan Kelantan. 
 
Dalam pada itu, ADUN Galas, Abdul Aziz Yusof dari BN menganggap keinginan DAP yang mahu bertanding di kerusinya itu ekoran mempunyai agenda tertentu.
 
Katanya, DAP mungkin berhasrat untuk menyebarkan ajaran agama Kristian kepada Orang Asli di Galas, dan disebabkan itu mereka memilih untuk meletakkan wakil Orang Asli di DUN tersebut.
 
"Saya rasa dia (DAP) ada sesuatu, DAP bukan sahaja dari segi politik, tapi dia ada agenda lain yang tersembunyi.
 
"Dia kononnya ingin membela masyarakat Orang Asli, tapi agenda yang tersembunyi, dia ingin menyebarkan agama kristian, itu yang saya nampak," katanya.
 
Terdahulu portal Malaysiakini yang memetik sumber melaporkan, DAP bakal menampilkan calon daripada Orang Asli bagi DUN Galas.
 
Menurut sumber tersebut, ia salah satu pendekatan baru untuk memberi peluang kepada Orang Asli berada dalam kerajaan jika berjaya menawan Kelantan.
 
 

No comments: