Oleh Wan Anis Ilyani Wan Mohammad Azhar
SHAH ALAM: PKR tidak perlu mengadakan rundingan kerusi di Selangor
dengan PAS, sekiranya ura-ura Presiden Amanah, Mohamad Sabu akan
diletakkan sebagai calon di negeri ini terbukti benar.
Itu respon Pesuruhjaya PAS Selangor, Sallehin Mukhyi mengulas hasrat
Amanah Selangor meletakkan Mohamad, atau Mat Sabu di Taman Templer.
Kerusi DUN Taman Templer yang terletak di Parlimen Selayang kini
disandang oleh wakil rakyat PAS, Mohd Zaidy Abdul Talib yang juga
merupakan exco kerajaan negeri.
"Saya tak nampak apakah keperluan Mat Sabu bertanding (di Taman
Templer) bagi mengalahkan Umno-BN, sebab selama ini PAS bertanding.
"Namun ia terpulang kepada perkiraan pimpinan PH untuk meletakkan (Mat Sabu) dimana-mana.
"Saya percaya keputusan itu, jika benar untuk meletakkan di situ,
bermakna PKR tidak perlu memanjangkan angan-angan untuk berbincang
dengan PAS. Melainkan itu keputusan dengan sendirinya mengiyakan akan
berlakunya pertandingan tiga penjuru di Selangor," katanya kepada
Antarapos, hari ini.
Terdahulu Amanah Selangor berhasrat meletakkan Mat Sabu di kerusi
parlimen Kota Raja dan DUN Taman Templer sebagai calon PRU14 akan
datang.
Parlimen Kota Raja disandang Siti Mariah Mahmud yang sebelum ini
bertanding atas tiket PAS pada PRU13 dan kini menjadi salah seorang
pemimpin Amanah.
Ini bukan kali pertama ura-ura itu bertebaran sementelah Amanah
Selangor pernah mencadangkan Mat Sabu mengetuai cabaran di negeri itu.
Usaha meletakkan Mat Sabu itu dikatakan sebagai mengukuhkan kedudukan
parti itu di Selangor, dan berkemungkinan Amanah mahu menjadi pengganti
PAS di dalam kerajaan negeri.
Bagaimanapun perkara ini bukanlah asing buat Mat Sabu, yang berasal
dari Kedah, memandangkan beliau pernah menjadi Ahli Parlimen Nilam Puri
(1990), Kubang Kerian (1995) dan Kuala Kedah (1999).
Bekas timbalan presiden PAS itu gagal mempertahankan kedudukannya di
Kuala Kedah pada pilihan raya 2004, malah tewas sebagai calon PAS di
Kuala Terengganu dan Pendang pada pilihan raya 2008 dan 2013.
Malah merujuk kerusi Taman Templer, Sallehin masih yakin ia masih
menjadi milik PAS dalam PRU14 memandangkan sokongan yang diterima oleh
masyarakat bukan Islam juga masih baik.
"Dalam kajian kita mempunyai sokongan masyarakat Melayu yang tinggi,
apa lagi jika berlaku PRU14 selepas persempadanan yang baru, bermakna
undi orang Melayu akan meningkat di Taman Templer.
"Malah hubungan Zaidy dengan masyarakat bukan Islam di Taman Templer
akan beri kelebihan tambahan kepada PAS untuk memperolehi undi daripada
mereka," kata Sallehin lagi.
Bagaimanapun Mat Sabu, dalam responnya semalam mendakwa Amanah masih
belum mencapai keputusan dalam soal peletakan calon, namun mengakui
hasrat Amanah Selangor itu.
No comments:
Post a Comment