ALOR SETAR – Pusat pemindahan banjir yang terakhir iaitu Sekolah
Kebangsaan Kodiang Lama, di Daerah Kubang Pasu telah ditutup sepenuhnya
petang tadi.
Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Negeri Kedah, Left. Kolonel (PA)
Mohd. Zulkhairi Shamsuddin mengesahkan penutupan pusat ke-34 itu ketika
ditemui di ibu pejabatnya di Wisma Persekutuan, pusat bandaraya di sini.
Katanya, Pusat Sekolah Kebangsaan Kodiang Lama di daerah Kubang
Pasu yang telah menempatkan seramai tujuh keluarga dan kira-kira 40
mangsa sehingga petang tadi ditamatkan sepenuhnya.
“Sukacitanya mengesahkan bahawa Pusat Pemindahan Banjir (PP)
terakhir yang telah dibuka sejak 23 September lalu, iaitu Sk Kodiang
Lama ditutup secara rasmi pukul 6 petang tadi,” katanya kepada
MalaysiaGazette di ibu pejabat APM hari ini.
Malah katanya dengan penutupan pusat pemindahan itu, operasi Bilik
Gerakan Bencana Banjir APM di negeri Kedah berakhir sepenuhnya pada
pukul 6 petang.
Beliau merakamkan jutaan terima kasih diatas segala kerjasama dan
liputan oleh agensi media sepanjang operasi dan bantuan kemanusiaan
banjir kali ini.
“Seramai 400 anggota kami termasuk 30 pegawai APM telah terlibat
dalam tugas 24 jam tanpa mengenali erti penat selain telah menggerakkan
aset angkatan kami iaitu 10 bot dan 6 lori sepanjang operasi
menyelamat mangsa banjir di negeri ini,” ujarnya lagi.
Malah jelasnya, pihak APM berjaya mengawal situasi banjir di negeri
ini memandangkan bencana yang telah melanda di lebih lima daerah negeri
ini tidaklah besar seperti yang disangka semua di luar.
“Sebenarnya banjir ini disebabkan fenomena air pasang selama 4 hari
berturut-turut di laut menyebabkan Jabatan Perparitan dan Saliran
menutup pintu mengelak paras air laut tinggi tidak menggelamkan sungai
dan penempatan penduduk.
“Itulah menyebabkan air banjir tidak dapat mengalir menyebabkan
keadaan teruk kali ini, jika kita lihat beberapa kejadian hujan lebat
sebelum ini air surut segera pada hari yang sama.
“Kedudukan perumahan kampung tertentu di beberapa daerah seperti
Kampung Banggol Besi, Tanah Merah daerah Pendang di kawasan rendah tepi
bendang terjejas teruk dan air termenung dan surut lambat,” tegasnya
lagi.
Bagaimanapun katanya, pihaknya dapat memastikan situasi terkawal
tanpa sebarang insiden kehilangan nyawa dan segala pusat yang ditutup
dibersihkan segera dengan kerjasama pihak sekolah dan agensi kerajaan
lain. – MalaysiaGazette
No comments:
Post a Comment