KUALA LUMPUR: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) menerima laporan
mengenai satu kejadian pecah masuk di Bahagian Pendidikan Jabatan Agama
Islam Melaka (JAIM), semalam.
Insiden itu mengakibatkan kehilangan tiga kertas soalan bagi tiga
subjek peperiksaan Ujian Penilaian Kelas KAFA (UPKK) bagi tahun 2017.
Ketua Pengarah JAKIM, Tan Sri Othman Mustapha, berkata pihaknya sudah
membuat laporan kepada pihak berkuasa supaya siasatan dapat dijalankan
mengikut peruntukan undang-undang.
"Kita dimaklumkan ada pihak telah memecah masuk bangunan JAIM dan
mengambil tiga kertas soalan bagi tiga subjek yang dijadualkan diadakan
pada 2 hingga 5 Oktober depan," katanya dalam satu kenyataan.
Bagaimanapun, beliau berkata, insiden berkenaan tidak menjejaskan
pelaksanaan peperiksaan UPKK 2017 kerana pihaknya ada menyediakan set
soalan kedua bagi subjek-subjek tersebut.
"Bagi memastikan kelancaran peperiksaan terbabit, kita telah susun jadual peperiksaan yang baru," katanya.
Othman berkata, pada hari Isnin, 2 Oktober iaitu hari pertama
peperiksaan, ujian kertas Sirah akan bermula pada jam 2.15 petang dan
tamat pada 3.45 petang manakala kertas Adab (Akhlak Islamiyah 1) akan
dijalankan pada jam 4 hingga 5.30 petang.
"Ia diikuti oleh kertas Lughah Al Quran keesokkan harinya bermula 2.30 hingga 4.30 petang.
"Ujian kertas Ulum Syariah akan diadakan pada hari ketiga, bermula pada
jam 2.30 hingga 4 petang dan kertas Adab (Akhlak Islamiyah 2) pada jam
4.15 hingga 5.15 petang hari yang sama.
"Hari terakhir iaitu, Khamis, 5 Oktober akan diadakan ujian untuk
kertas Pelajaran Jawi dan Khat yang bermula pada jam 2.30 sehingga 4
petang," katanya.
No comments:
Post a Comment