Oleh Abdul Rahman Malik
[ULASAN] Umur Tun
Dr Mahathir Mohamad bukan sahaja panjang dan sihat tubuh badan tetapi
mempunyai daya ingatan yang kuat. Memorinya utuh dan ini menjadi aset
politik utamanya. Beliau mampu mengingati percaturan dan konspirasi
politik yang dilakukan oleh saingannya.
Kini beliau ialah pemimpin nombor satu dalam kolaborasi politik yang
disusun oleh parti-parti pembangkang. Selain mempunyai daya ingatan
politik yang dalam dan tajam, Mahathir juga pandai menyorokkan sentimen
politiknya.
Kecekapan silat politik ini sudah dibuktikannya ketika melayani karenah
timbalan-timbalan perdana menterinya, Tun Musa Hitam, Tun Abdul Ghaffar
Baba, Datuk Seri Anwar Ibrahim serta pengganti beliau, Tun Abdullah
Badawi.
Bila perlu, Mahathir boleh menyerlahkan sisi kenegarawanannya dan, bila
sesuai beliau akan menjadi jurubicara nasionalisme. Aura politiknya
juga boleh dibingkai dengan kepentingan agama Islam dan bangsa Melayu.
Dalam membuat perhitungan politik Dr Mahathir amat cermat. Begitu juga
dalam memimpin Pakatan Harapan (PH). Yang pasti, beliau tidak akan
terlepas pandang konsep dan “kerangka Pakatan Harapan” yang cuba
diketengahkan oleh Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Walaupun beliau menerima Mahathir untuk melanjutkan perjuangannya mahu
menundukkan UMNO-BN, Anwar nampaknya masih cuba bermain politik
dengannya. Anwar cuba “membeli insurans politik” apabila merestui PKR
bekerjasama dengan PAS.
PKR terbahagi dua
Langkah ini menjadi isu besar apabila Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli
mendedahkan parti itu kini terbahagi dua kumpulan berhubung isu
kerjasama dengan PAS. Ini mendorong kumpulan penggerak kerjasama itu
mendedahkan bahawa langkah mereka sebenarnya direstui Anwar.
Kumpulan pimpinan Wan Azizah dan Azmin ini cuba mengelakkan “tekanan”
Rafizi yang menganggap inisiatif itu melanggar asas kerjasama PH. Semua
tahu bahawa PAS tidak berminat bekerjasama dengan mana-mana komponen PH.
Malah PKR sendiri turut ‘ditalak’ PAS.
Dalam keadaan gugup itu, Anwar mencongak beliau perlu menjernihkan
keadaan demi mengelak berlaku salah faham dalam PH. Malah lebih penting
lagi beliau tidak mahu ia menjadi punca barah dalam PKR pula.
“Apa yang diusulkan dan dipersetujui Biro Politik sebelum ini adalah
tidak memusuhi PAS, mengkaji kemungkinan mengelak pertarungan tiga
penjuru. Pertimbangannya adalah menggembleng seluruh kekuatan dalam
menghadapi UMNO-BN dalam PRU 14,” kata Anwar dalam kenyataan medianya.
Dengan menggunakan tiga alasan berkenaan, Anwar berharap akan dapat
menghindar keresahan ahli-ahli (baik dari komponen PH mahupun PKR)
kerana “corak cadangan kerjasama PKR dengan PAS dianggap samar dan
berlarutan tanpa dimuktamadkan”.
Anwar mengakui bahawa “keadaan sedemikian dianggap mengelirukan dan
dikhuatiri akan menjejaskan muafakat Pakatan Harapan. Pimpinan Pakatan
Harapan juga telah menjelaskan pendirian menolak kerjasama dengan PAS.”
Di selekoh ini Anwar cuba membuat “paluan berundur” daripada
pendiriannya bahawa “PKR dan PH juga masih memerlukan kerjasama PAS”
menghadapi Pilihanraya umum ke 14.
“Garis yang ditetapkan dengan jelas adalah kerjasama tersebut,
seandainya berlaku, tetap dalam kerangka komitmen KEADILAN dengan
Pakatan Harapan,” kata Anwar sebagai memberi isyarat ia bukan sesuatu
yang hendak dirahsiakan daripada pengetahuan PH.
Setakat ini Mahathir masih membisu terhadap kenyataan Anwar itu dan
tidak cuba menokok tambah pendedahan Rafizi berhubung “pertelingkahan”
dalam PKR hingga mengakibatkan beliau (Rafizi) sendiri tidak menghadiri
mesyuarat Biro Politik PKR hampir setahun.
Mahathir mengikut arus buat masa ini. Dalam mesyuarat Majlis Presiden
PH, Mahathir berhasil mendapatkan persetujuan komponen untuk tidak akan
bekerjasama dengan PAS. Persetujuan ini ditandatangani semua pemimpin
PH, termasuk Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail.
PKR akur ketetapan PH
Berikutan itu PKR mengambil pendirian rasmi selaras dengan keputusan
Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH) bahawa tiada kerjasama akan dijalin
bersama PAS pada Pilihan Raya Umum Ke-14 akan datang.
"Seperti kenyataan yang dibuat oleh Majlis Presiden, ada dua perkara,
pertama Majlis Presiden PH menyatakan tiada kerjasama dengan PAS dalam
PRU14.
"Yang kedua kita akan atur strategi kemungkinan tiga penjuru dalam
PRU14. Dan itu adalah pandangan Majlis Presiden dan kita akan
laksanakan," kata Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Azmin Ali.
Maka lengkaplah usaha memadam “kesipuan” PKR berhubung inisiatif yang
dianjurkan oleh Anwar mahu meneruskan rundingan dengan PAS meskipun
parti itu sudah “menceraikan hubungan” dengan semua komponen PH.
Persoalannya ialah, adakah Mahathir akan melupakan ikhtiar luar
“kerangka PH” oleh Anwar dan PKR? Beliau mempunyai ingatan yang panjang
dan dalam persoalan politik sebegini sensitif, tentu veteran politik itu
tidak mudah lupa.
Bila Mahathir mahu menjelmakan pendiriannya terhadap eksperimen politik
Anwar ini, hanya beliau yang tahu. Namun buat masa ini yang penting
ialah, Rafizi telah membantu mengesahkan dayausaha Anwar “mengurat” PAS.
Mahathir ada pilihan bertindak sekarang demi memberi pengajaran pada
Anwar dan PKR. Atau, beliau boleh menunggu sehingga muktamadnya PRU 14
dahulu.
Apapun kini sudah tidak sukar membaca firasat dan mutu kepimpinan PKR
berpandukan kenyataan apologetik Anwar dan pendedahan Rafizi betapa
longgarnya disiplin dalam parti itu.
Malah, walaupun hampir setahun tidak menghadiri mesyuarat Biro Politik
PKR yang dianggapnya ‘membuang masa kerana lebih banyak berpolemik’,
Rafizi “menceroboh” masuk mesyuarat Majlis Presiden PH.
Meskipun beliau tiada sebarang jawatan dalam Majlis Presiden berkenaan,
Rafizi menyertai mesyuarat itu demi “mengingatkan” bahawa isu PKR
“mengurat” PAS perlu diselesaikan.
Anehnya, Azmin sendiri yang dipikulkan tanggungjawab untuk “memujuk”
PAS supaya bekerjasama mengelak pertandingan tiga penjuru dalam PRU,
tidak hadir untuk “mempertahankan” inisiatif Anwar Ibrahim itu.
Mahathir yang pernah menjadi tutor politik Anwar pasti tidak akan lupa
makna “kerangka PH” ala-Anwar dan beliau kini boleh memilih masa yang
sesuai untuk memberikan reaksinya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan