SEPANG: Kumpulan pertama 414 jemaah haji Malaysia selamat tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pagi tadi.
Ketibaan mereka menerusi penerbangan XY9003 Flynas dari Lapangan
Terbang Antarabangsa Raja Abdul Aziz, Jeddah itu disambut Timbalan Ketua
Pegawai Eksekutif Tabung Haji (TH), Datuk Badlisyah Abdul Ghani,
pengurusan tertinggi TH serta anggota keluarga.
Pesawat mendarat jam 5.05 pagi tadi.
Badlisyah berkata urusan ibadat haji bagi musim ini berjalan lancar
malah, tiada insiden tidak diingini sepanjang jemaah di Tanah Suci.
"Bagaimanapun, empat daripada jemaah kita tidak berjaya menyempurnakan
ibadat haji kerana koma tetapi kita akan mengutamakan mereka untuk
menyempurnakan ibadat ini pada tahun depan.
"Sebanyak 37 jemaah haji dilaporkan meninggal dunia dengan 21
daripadanya sempat mengerjakan wukuf di Arafah manakala 16 lagi tidak
berjaya," katanya ketika ditemui selepas menyambut kepulangan kumpulan
jemaah haji pertama di KLIA di sini, hari ini.
Beliau berkata, penerbangan jemaah haji Malaysia pulang ke tanah air
dari Jeddah dan Madinah dijangka berakhir pada 5 Oktober ini membabitkan
119 penerbangan.
"Selain itu, TH juga mengucapkan ribuan terima kasih kepada kerajaan
Arab Saudi yang berjaya menguruskan kira-kira 3 juta jemaah haji dari
seluruh dunia termasuk 30,200 jemaah haji Malaysia," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan