HAMPIR mengalir air mata
apabila melihat kumpulan sukarelawan Indonesia membawa sepanduk berbunyi
Malaysia-Indonesia bersaudara, Malaysia Love Indonesia, Malaysia # Kita
Serumpun, Indonesia # Kita Serumpun, # Kita Serumpun, # Bangkit
Bersama, # Kita Bersaudara, Salam Damai Malindo, Lahir Malaysia, Asal
Indonesia, hasil insiden bendera Indonesia terbalik dalam buku aturcara
Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 atau KL17.
Inilah
semangat yang perlu ada dalam setiap diri kita. Tidak perlu dipanjangkan
lagi. Kesilapan ini bukan disengajakan. Lagipun awal-awal lagi Malaysia
telah mengemukakan permohonan maaf. Saya tidak fikir Malaysia sengaja
mencetak bendera terbalik sedemikian. Apa yang kita dapat? Menyusahkan
lagi ada.
Saya amat
mengharapkan tidak wujud sifat ultra kiasu antara kita sesama serumpun,
dengan tidak menolak bahawa perlu ada sifat kiasu untuk bersaing secara
sihat. Bawalah berbincang. Jangan memperbesarkan perkara kecil.
Jangan
jadi seperti atlet renang Singapura. Belum apa-apa lagi sudah
mengeluarkan kata-kata sinis untuk ‘mengajar’ perenang Malaysia ketika
perlumbaan berlangsung KL17. Mentang-mentanglah mereka kuat dalam acara
tersebut. Inilah sifat ultra kiasu yang perlu dihindarkan. Ingat! Allah
Maha Kuat.
Saya yakin
ibunya yang kini menetap di Ipoh, Perak, mungkin telah menasihatkan
beliau supaya tidak mengeluarkan kenyataan yang bongkak, sehingga beliau
mengeluarkan kenyataan memohon maaf selepas itu. Lagipun kita serumpun.
Buatlah seperti tindakan sukarelawan Indonesia yang saya sebut di atas.
Sebenarnya,
saya sudah muak dengan gelagat rakyat Singapura ultra kiasu yang tidak
sedar diri, bahawa asal-usul mereka bermula di sini. Apatah lagi melihat
aksi meloyakan mereka yang cukup berdisiplin ketika berada di negara
mereka. Tetapi, apabila sampai ke Malaysia, sering berkelakuan biadab di
atas jalan raya dan tidak menghormati pengguna lain.
Antara
perbuatan mereka adalah memandu melebihi had kelajuan maksimum, membuang
sampah dari kenderaan, tidak menghiraukan undang-undang trafik dan
sebagainya. Menurut The Straits Times, Singapura, terdapat sebanyak
275,663 saman yang tertunggak dari tahun 2010 ke 2016. Sebahagian besar
saman yang dikeluarkan, iaitu sejumlah 184,014 adalah saman yang
dikenakan ke atas rakyat ultra kiasu Singapura.
Terdapat
3,423 waran tangkap bagi rakyat negara itu untuk tempoh yang sama.
Operasi sedang dijalankan oleh pihak polis untuk mereka membayar saman
yang telah dikeluarkan.
Isu ini
bukanlah isu baharu. Perangai ultra kiasu rakyat Singapura ini sudah
lama. Mereka sengaja mencabar kesabaran kita. Jika di negara mereka,
meludah biji tembikai keluar pun mereka tidak berani. Apabila berada di
Malaysia, perangai dan tabiat mereka bertukar menjadi sebaliknya.
Sifat
negara maju apakah ini? Ternyata, mereka ini sangat pandai berpura-pura.
Saya amat mengharapkan polis kita mengambil tindakan tegas terhadap
mereka. Sama seperti isu, Pulau Batu Putih yang telah menjadi ‘hak’
mereka hari ini. Sesiapa sahaja, termasuk nelayan yang mendekati pulau
tersebut untuk mencari rezeki, akan dihalau. Mereka sedang merangka
strategi untuk merangka kawasan perairan berasaskan berapa batu nautika
mengikut standard antarabangsa.
Meskipun
saya tidak dibenarkan masuk ke sana lagi, itu tidak menghalang untuk
saya terus menulis perkara yang benar. Saya akan terus melondehkan sifat
ultra kiasunya. Apatah lagi ura-ura untuk melantik Melayu Singapura
(wanita) menjadi Presidennya. Bergantung kepada pemilihan yang akan
dilakukan.
Selama
ini, selepas Almarhum Yusof Ishak dilantik menjadi presiden yang
pertama, kenapa tidak ada Melayu dilantik selepas itu. Hanya ada
nama-nama seperti, Benjamin Henry Sheare, Devan Nair, Wee Kim Wee, Ong
Teng Cheong, Sellapan Ramanathan dan Dr Tony Tan Keng Yam.
Kenapa
baru sekarang terfikir untuk melantik Melayu sebagai Presiden? Bukankah
Singapura berasal usul daripada sistem kenegaraan Melayu? Murah sungguh
maruah kita jika boleh dibeli dengan jawatan.
Apakah
Singapura akan berpresidenkan orang Melayu selepas setelah sekian lama
dipinggirkan? Jika itulah yang akan berlaku apakah itu bermakna
Singapura sudah menunjukkan keterbukaannya dengan perlantikan bagi
menunjukkan bahawa nasib Melayu telah terbela? Saya harapkan Melayu
Singapura tidak mudah ‘dibeli’ dengan jawatan.
Pada masa
sama, saya juga berharap kita dapat membaca buku yang ditulis oleh Dr
Lily Zubaidah; The Singapore Dilemma: The Political and Educational
Marginality of the Malay Community, dan Singapore in the Malay World:
Building and Breaching Regional Bridges.
Lily
Zubaidah adalah rakyat Melayu Singapura yang dihalau keluar daripada
Singapura oleh pemimpin Singapura. Beliau telah dibuang negara kerana
lantang mengkritik kerajaan Singapura (PAP). Beliau kini adalah
pensyarah di Universiti Sydney, Australia.
Jika
kerajaan Singapura bersikap terbuka sudah tentu, mereka bersedia memberi
dan menerima Dr Lily Zubaidah seadanya. Hakikatnya tidak berlaku.
Untuk
makluman, Dr Lily Zubaidah adalah anak kepada Abdul Rahim Ishak
(1925-2001). Bapa beliau pernah menjadi Menteri Pendidikan Singapura
(1965-1968), Menteri Luar Negeri Singapura (1968-1972) dan Duta Besar
Singapura ke Indonesia (1974-1977). Bapa saudara beliau adalah Yusof
Ishak (1910-1970), iaitu Presiden Melayu pertama Singapura (1965 hingga
1970).
Apakah
kita sudah lupa, orang Melayu Singapura dinafikan suara mereka untuk
mengetengahkan hak mereka dalam media utama. Ini tidak termasuk larangan
memakai tudung terhadap pelajar Muslim yang ingin memakai tudung ke
sekolah. Tindakan akan dikenakan terhadap mereka yang menentang arahan
ini.
Begitu
juga dengan kedudukan bahasa Melayu yang dianggap sebagai ‘low class’.
Jangan haraplah orang bukan Melayu bercakap dalam bahasa Melayu. Nasib
baiklah percubaan untuk mengubah lagu kebangsaan mereka ‘Majulah
Singapura’ dan command perbarisan tentera masih belum berjaya.
Kebanyakan yang menyanyi lagu ‘Majulah Singapura’ bukan mereka faham pun
bahasa Melayu. Hafal sahaja.
Ramai
dalam kalangan rakyat mereka tidak menyanyikan lagu kebangsaan apabila
ia sedang dimainkan ketika majlis rasmi. Ini tidak termasuk, banyak nama
jalan dalam bahasa Melayu yang telah ditukar kepada bahasa Inggeris dan
Mandarin. Perkataan ‘Lorong’ telah dinamakan semula sebagai ‘Avenue’,
‘Rise’, ‘Drive’ dan ‘View’.
Pendek
kata, apa jua perkara berkaitan dengan identiti Melayu semakin
dicairkan. Kuasa pengundi Melayu Singapura telah dicairkan secara
sistematik dengan skim penempatan semula bandar pada tahun 1960-an dan
1970-an, pengenalan kuota perumahan dan sistem kumpulan perwakilan undi
(A Group Representation Constituency – GRC).
Retorik
multi-rasisme digunakan untuk memastikan masyarakat Melayu yang secara
tradisinya menyokong parti-parti pembangkang tidak mempunyai kuasa
penentu dalam setiap kawasan pilihan raya di sana.
Menurut Dr
Lily Zubaidah lagi, syarikat-syarikat berkaitan kerajaan (GLC), badan
berkanun dan angkatan tentera kebanyakannya pegawai kanannya dibolot
oleh orang Cina.
Misalnya,
dalam sekor pertahanan dan keselamatan, daripada 70 pegawai yang paling
kanan tentera (berpangkat kolonel dan ke atas), hanya satu orang bukan
Cina. Perangkaan tahun 1999. Nyata sekali Melayu disisihkan sama sekali.
Berbanding dengan Malaysia, berapa ramai orang bukan Melayu diberi
kepercayaan memegang jawatan tinggi dalam GLC.
Juga
termasuk sektor pertahanan dan keselematan. Ramai yang berkhidmat dalam
sebagai polis dan tentera dilantik menjawat jawatan agak tinggi. Itupun
mereka menuduh memingkirkan orang Cina. Sedang penguasaan ekonomi mereka
melebihi 70 peratus.
Cuba kita
imbau kembali, pernahkah orang Melayu diberi kepercayaan untuk memegang
jawatan kanan dalam Kabinet seperti Menteri Pertahanan, Kewangan,
Perdagangan, Industri, Kementerian Luar Negara atau Kementerian
Pendidikan. Begitu juga jawatan strategik penjawat awam seperti Panglima
Angkatan Tentera, Ketua Polis, Ketua Imigresen, Ketua Hakim dan
sebagainya.
Sebab itu
tidak perlulah berlakon hebat. Jika diteliti sejarah Kabinet kerajaan
Singapura, orang Melayu hanya diberikan jawatan yang kurang penting
seperti Menteri Hal Ehwal Sosial, Pembangunan Masyarakat, Sukan, Alam
Sekitar dan Hal Ehwal Islam.
Sekurang-kurang
kita lebih terbuka di Malaysia, banyak jawatan tinggi kerajaan telah
dikongsikan kepada bukan Melayu. Banyak lagi sifat ultra kiasu yang
boleh dibongkarkan seperti diperkatakan oleh Dr Lily Zubaidah. Cukup
setakat ini dahulu.
Apa yang
penting kita perlu kenal siapa musuh siapa sahabat, yang mana serumpun
yang mana tidak. Insiden dan kenyataan atlet Singapura itu sudah cukup
memberikan pengajaran kepada kita, mestipun telah ditarik balik dan
permohonan maaf dikemukakan.
Saya yakin
kata-kata Malaysia-Indonesia bersaudara, Malaysia Love Indonesia,
Malaysia # Kita Serumpun, Indonesia # Kita Serumpun, # Kita Serumpun, #
Bangkit Bersama, # Kita Bersaudara, Salam Damai Malindo, Lahir Malaysia,
Asal Indonesia, akan menggerunkan ultra kiasu sekiranya benar-benar
direalisasikan.
Fikir-fikirkanlah
wahai saudaraku rakyat Malaysia berbilang kaum ini. Saya tidak pernah
rasis kepada bangsa saya. Saya adalah saya yang seadakan sampai
bila-bila. Itulah yang Allah anugerahkan. Saya hanya mahukan kita
memahami sejarah dan hakikat sebenar negara ini.
*Profesor Dr Mohd Ridhuan Tee Abdullah, Profesor Fakulti Pengajian Umum dan Pendidikan Lanjutan (FUPL) ,Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan