SHAH ALAM: Aktivis reformasi pembangkang, Hishamuddin Rais hari ini
'menasihati' Datuk Seri Anwar Ibrahim agar 'diam dan membuat hal
sendiri', kata pembantu khas perdana menteri, Datuk Rizal Mansor.
Beliau menerusi laman Facebooknya mengulas tulisan terbaru Hishamuddin
berhubung kenyataan serta pendirian Anwar mengenai isu rundingan PKR-PAS
menuju Pilihan raya Umum ke-14 (PRU14).
Malah ujar Rizal, tulisan Hishamuddin itu turut mengundang pelbagai maksud.
"Semasa Anwar di luar penjara, Hishamuddin kata Anwar suka cakap
belit-belit pada orang sehingga menyebabkan PKR huru-hara. Semasa Anwar
dalam penjara, Anwar tak dapat maklumat yang tepat untuk buat keputusan
yang betul.
"Maksudnya di dalam atau di luar penjara, lebih baik Anwar diam dan buat hal sendiri.
"Ini pandangan daripada salah seorang kawan baik Anwar yang merupakan
otai gerakan reformasi," tulis Rizal di Facebook hari ini.
Terdahulu hari ini, Hishamuddin menggesa ketua umum PKR itu memberi
tumpuan kepada kegiatan menulis dan berfikir ketika berada di penjara.
Aktivis itu mengatakan bahawa perbezaan pendapat dalam PKR mengenai
kerjasama dengan PAS berpunca daripada pendekatan Anwar dalam mengendali
dan mengurus kepimpinan.
"Misalnya kepada si polan A Saudara Anwar telah memberi pandangan lain
daripada yang diberi kepada si polan B. Dan agak berbeza juga daripada
yang diterima oleh si polan C.
"Ini menimbulkan kekeliruan. Buktinya apa yang sedang berlaku sekarang
dalam agenda memutuskan kerjasama PKR dengan Parti Islam, PAS.
"Cara atau metode dan pendekatan memimpin seperti ini tidak baik. Ia
tidak melahirkan keputusan yang kompak dan tuntas. Hasilnya ialah
cerai-berai," tulis Hishamuddin.
Pada 2 September lalu, Anwar mengeluarkan kenyataan menggesa anggota
parti dan penyokongnya membenarkan pemimpin parti itu memutuskan cara
terbaik menangani kerjasama dalam Pakatan Harapan.
Berikutan itu, para pemimpin PKR yang membantah dan menyokong kerjasama dengan PAS mendakwa bahawa Anwar menyokong mereka.
PAS secara rasmi mengakhiri kerjasama selama 18 tahun dengan PKR,
terutamanya apabila parti itu menyokong Amanah semasa pilihan raya kecil
Kuala Kangsar dan Sungai Besar tahun lepas.
Bagaimanapun, beberapa pemimpin PKR masih terbuka untuk bekerjasama
dengan PAS bagi mengelakkan pertandingan pelbagai penjuru dalam pilihan
raya umum akan datang.
No comments:
Post a Comment