Oleh Zeanaaima Mohd Yusof
SHAH ALAM: 'Saya kayuh basikal daripada Sabak ke Baling, Kedah pada
tahun 1986', cerita Pesuruhjaya PAS Selangor, Sallehen Mukhyi hanya
untuk mengetahui lebih lanjut mengenai tragedi Memali.
Ujarnya ketika itu beliau masih menuntut ditingkatan enam bawah, namun
keinginannya merungkai peristiwa berdarah itu begitu kuat hinggakan
beliau memutuskan untuk mengayuh basikal sejauh itu.
"Saya tingkatan enam bawah (ketika itu), lepas setahun peristiwa itu
berlaku saya kayuh basikal daripada Sabak sampai ke Baling pada tahun
1986. Punyalah saya nak tahu peristiwa itu," ujarnya kepada Antarapos
ketika ditemubual secara eksklusif baru-baru ini.
Sallehen kemudiannya menyorot kembali Perhimpunan Agung Umno pada tahun
1984, yang padanya pencetus kepada peristiwa berdarah itu.
Ujarnya, pengaruh yang dimiliki guru agama bertaraf ulama, Ibrahim
Mahmud atau lebih dikenali sebagai Ibrahim Libya begitu digeruni Umno
pimpinan Perdana Menteri ketika itu, Tun Dr Mahathir Mohamad.
"Ustaz Ibrahim Libya seorang ulama yang saya difahamkan sebelum itu dia
bekerja dalam kerajaan dan dia berhenti. Bila beliau buka pondok, orang
semakin ramai datang termasuk orang Umno. Itu yang sangat ditakuti oleh
orang Umno di Baling.
"Wakil Umno di Baling pada Persidangan Agung Umno, tahun 1984 meminta
diambil tindakan apa pun kepada Ibrahim Libya sebab (dikatakan) dia
melatih penganas-penganas. Mungkin pengaruh inilah yang semakin hari
semakin ramai menyebabkan Umno ketika itu rasa tergugat," katanya.
Walhal, selepas diteliti hansard Parlimen segala dakwaan yang
dilemparkan ke atas Ibrahim Libya tidak dapat dibuktikan, malah
dibiarkan berlalu begitu sahaja, kata Sallehen.
Tuduhan pertama, Ibrahim Libya dituduh melindungi pengganas komunis.
Kedua guru agama itu dikatakan memiliki senjata berbahaya dan ketiga
rumahnya di daerah Siong, Baling Kedah itu dikatakan menjadi kubu
pertahanan komunis.
"Tetapi ternyata ketiga-tiga ini tidak ada. Pada hari kejadian itu
berlaku pegawai polis Kedah buat penyiasatan. Ada wakil polis yang buat
penyiasatan dan pergi melihat sendiri tempat itu dan menyatakan, ianya
ada masjid, ada pengajian dan tidak ada apa-apa tiga pertuduhan ke
atasnya (Ibrahim Libya) itu," katanya.
Dalam tragedi Memali pada 1985 itu, sekurang-kurangnya 18 orang terbunuh termasuk Ibrahim Libya dan empat orang anggota polis.
"Peristiwa kepungan polis itu melibatkan 3000 polis termasuk polis
hutan (ketika ini PGA). Sebahagian mereka tidak tahu hanya dimaklum
operasi serang komunis.
"Dimaklumkan sebahagian (daripada polis) tidak tahu yang mereka nak
serang rumah seorang ulama yang sangat ditakuti Umno ketika itu,"
katanya.
Sallehen juga memberitahu seorang daripada pegawai polis yang terlibat
dalam operasi itu menulis sebuah buku berkenaan peristiwa Memali dan
berkata pembunuhan Ibrahim Libya adalah satu kesilapan.
"Bekas OCPD Baling, Tengku Mazafar Tengku Ibrahim, selepas beliau
pencen..beliau terlibat dalam gerakan membunuh Ibrahim Libya dan
orang-orangnya..selepas dia pencen dia buat satu buku memori sorang
polis berkaitan Memali.
"Dia kata pembunuhan Ibrahim Libya adalah satu kesilapan dan dia
menulis bahawa arahan daripada Bukit Aman bukan datang daripada Kabinet
atau Menteri tapi daripada kepentingan politik," ujarnya.
Justeru ujar Sallehen penubuhan Suruhanjaya Siasatan Di-Raja (RCI)
berkaitan Memali harus dibuka untuk ia disiasat secara adil dan telus
sekaligus membersihkan nama mangsa yang terlibat.
No comments:
Post a Comment