Tuesday, September 5, 2017

PSM: Kami pernah kalahkan DAP di Sg Siput

MALAYSIAKINI


PSM tidak terkejut dengan hasrat DAP untuk meletakkan calon di Sungai Siput, kerusi parlimen tunggal yang dipegang oleh parti sosialis itu.

Anggota jawatankuasa pusat parti itu, S Arutchelvan berkata DAP pernah bertanding di Sungai Siput menentang calon PSM dan BN pada 2004 dan mendapat undi paling sedikit.



Ketika itu, DAP yang meletakkan PP Sanmugam sebagai wakil parti itu hanya memperolehi 9.4 peratus daripada undi yang dibuang dan hampir kehilangan wang depositnya.

"Apabila DAP menentang PSM pada tahun 2004, ini hanya memberi kemenangan kepada BN, jadi jika DAP bertanding di Sungai Siput, ini hanya akan membantu BN," kata Arutchelvan dalam satu kenyataan hari ini.

Arutchelvan mengulas pengumuman DAP Perak bahawa parti itu akan meletakkan calon di Sungai Siput sebagai susulan keputusan PSM untuk bertanding di kerusi yang kini dimiliki oleh Pakatan Harapan.

PSM telah meletakkan Dr Michael Jeyakumar Devaraj sebagai calon parti itu di Sungai Siput sebanyak empat kali sejak tahun 1999.

Pada tahun 1999, Jeyakumar bertanding atas tiket DAP, dan pada tiga pilihan raya umum berikutnya, atas tiket PKR.

Pada tahun 2008, Jeyakumar akhirnya berjaya menumbangkan Presiden MIC, Datuk Seri S Samy Vellu yang memegang kerusi Parlimen Sungai Siput selama sembilan penggal.

No comments: