KUALA LUMPUR: Sekalipun Pakatan Harapan (PH) terdiri daripada empat
parti namun DAP adalah 'parti dominan' dengan Lim Kit Siang sebagai
pemimpin 'de facto' yang bijak mengatur percaturan dan mencorakkan
penampilan gabungan itu.
Setiausaha Akhbar Perdana Menteri, Datuk Seri Tengku Sariffuddin Tengku
Ahmad berkata ia menggunakan strategi Ali Baba dengan meletakkan
pemimpin Melayu di barisan hadapan tetapi “power broker” sebenarnya
berada di belakang tabir.
“Bagaimanapun, orang Melayu hari ini sudah mula menghidu taktik kotor ini kerana ia menghina kecerdasan mereka.
“Mengapa DAP dan Kit Siang bermain silap mata ini? Ini kerana pengaruh
Datuk Seri Anwar Ibrahim ke atas Pakatan mula merosot, mereka memerlukan
seorang tokoh Melayu yang baharu di barisan hadapan sebagai topeng,”
katanya dalam kenyataan.
Beliau berkata DAP dan Kit Siang arif bahawa orang Melayu tidak akan menyokong mereka sepenuhnya.
"Mereka tidak menaruh kepercayaan kepada pemimpin rakan-rakan dalam PH
seperti Ketua Pembangkang Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail (PKR) atau
Mohamad Sabu (Amanah), tetapi sebaliknya memilih untuk membentuk
pakatan baharu dengan Pengerusi PPBM, Tun Dr Mahathir Mohamad, dengan
mengetahui sepenuhnya bekas perdana menteri itu tidak akan bertanding
dalam pilihan raya umum ke-14 dan partinya hanya mempunyai satu kerusi
di Parlimen", kata Tengku Sariffuddin.
Beliau berkata keputusan DAP untuk merestui Dr Mahathir memimpin PH adalah satu penghinaan kepada PKR dan Amanah.
“DAP dan Kit Siang mengambil keputusan ini berdasarkan pengalaman dan
pengaruh Mahathir. Tetapi ini jelas hipokrit kerana parti-parti
pembangkang melancarkan gerakan reformasi yang terang-terang menentang
Mahathir,” katanya.
Tengku Sariffuddin berkata Kit Siang menggunakan musuh lamanya dan
orang yang pernah menyebabkan beliau meringkuk dalam tahanan untuk
menerajui cabaran DAP di kawasan yang menjadi kubu orang Melayu.
“Itulah sebabnya mengapa mereka membiarkan Mahathir bercakap mengenai
dasar. Tujuan utama DAP ialah untuk menambat hati pengundi Melayu.
“Bagi Kit Siang secara peribadi, ikatannya dengan Mahathir bermaksud
untuk memadamkan imejnya sebagai anti Melayu dan anti Islam. Tetapi apa
yang Kit Siang gagal untuk memahami ialah orang Melayu boleh menghidu
bahawa mereka diperalatkan oleh DAP,” kata beliau.
Katanya sudah tidak menjadi rahsia lagi bahawa mengundi PH sebenarnya ialah mengundi DAP, bukan PKR, Amanah atau PPBM.
“DAP adalah kuasa sebenar di belakang pembangkang. Bagaimanapun, DAP
kini dalan keadaan panik kerana telah sedar bahawa orang Melayu
menyedari apa yang sedang berlaku dan dalang sebenarnya ialah Kit
Siang,” kata beliau.
Sebelum ini Ketua Pemuda PAS, Muhammad Khalil Abdul Hadi
mengisytiharkan bahawa satu undi kepada Pakatan Harapan (PH) bererti
satu undi kepada DAP, yang menurutnya dibayangi Evangelis Kristian dan
mahu menawan negara ini.
Ujar Khalil, DAP sudah mencengkam tiga lagi rakan komponen dalam gabungan itu iaitu PKR, PPBM dan Amanah sebagai proksi.
No comments:
Post a Comment