PUTRAJAYA: Mahkamah Persekutuan hari ini membenarkan rayuan Jabatan
Pendaftaran Negara (JPN) dan dua pihak lagi bersabit keputusan Mahkamah
Rayuan yang berpendirian anak pasangan beragama Islam yang dilahirkan
secara luar nikah berbinkan nama bapanya.
Kebenaran itu diberikan oleh panel tiga hakim Mahkamah Persekutuan
diketuai oleh Ketua Hakim Negara, Tan Sri Md. Raus Sharif yang bersidang
bersama Presiden Mahkamah Rayuan, Tan Sri Zulkefli Ahmad Makinudin dan
Datuk Aziah Ali.
Mahkamah membenarkan pemohon-pemohon mengemukakan tiga daripada empat
persoalan undang-undang yang dikemukakan dalam rayuan penuh yang akan
ditetapkan pada satu tarikh lain kelak.
Pada Julai lalu, Mahkamah Rayuan berpandangan anak pasangan beragama
Islam yang dilahirkan secara luar nikah kini layak di sisi undang-undang
untuk berbinkan nama bapanya.
Panel tiga hakim yang diketuai oleh Datuk Tengku Maimun Tuan Mat
memutuskan perkara berkenaan ketika membenarkan rayuan seorang
kanak-kanak lelaki berusia tujuh tahun dan kedua ibu bapanya.
Beliau yang bersidang bersama Datuk Abdul Rahman Sebli dan Puan Sri
Zaleha Yusof sebulat suara mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi yang
menolak semakan kehakiman yang difailkan oleh ketiga-tiganya.
Hakim Abdul Rahman Sebli dalam penghakiman bertulisnya berpendapat,
Ketua Pengarah Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) bertindak tidak wajar
dan di luar bidang kuasa ketika mendaftarkan `Abdullah’ sebagai nama
keluarga dalam sijil kelahiran seorang kanak-kanak luar nikah.
Ibu dan bapa kanak-kanak itu (perayu kedua dan perayu ketiga),
kedua-duanya beragama Islam bernikah pada 24 Oktober 2009. Kanak-kanak
lelaki itu yang merupakan anak tak sah taraf, lahir pada 17 April 2010
iaitu lima bulan dan 24 hari (atau lima bulan dan 27 hari menurut
kalendar Qamariah Islam).
No comments:
Post a Comment