THE MALAYSIAN TIMES
KUALA LUMPUR: PAS mengingatkan para pengundi Islam di negara ini supaya tidak terpedaya dengan helah DAP dengan melontarkan kata-kata manis bahawa DAP adalah sebuah parti yang menyokong Islam demi menarik undi pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) akan datang.
Dalam satu kenyataan, Ketua Penerangan Dewan Ulama PAS Pusat, Datuk Dr. Mohd Khairuddin Aman Razali at-Takiri berkata, DAP tidak perlu berpura-pura berlakon menyokong islam.
“DAP tidak perlu berlakon untuk menyokong Islam. Perjuangan DAP ialah Malaysia sebagai negara sekuler. Pemikiran itu sudah tentu bercanggah dengan prinsip Islam dalam pemerintahan,” katanya.
Beliau berkata demikian mengulas berita yang disiarkan oleh Sinar Harian yang bertajuk “DAP sokong Islam” seperti mana yang dilaporkan oleh Penasihat DAP, Lim Kit Siang bahawa “DAP menyokong prinsip Islam dalam Perlembagaan”.
Kata Mohd Khairuddin, jika benar DAP menyokong prinsip Islam, mengapa parti itu menentang keras pengislaman anak dibawah umur 18 tahun oleh seorang ibu atau bapa yang memeluk Islam.
“Kalau benar begitu, kenapa DAP menentang sekeras-kerasnya pengislaman anak bawah umur 18 tahun oleh salah seorang ibu atau bapa yang memeluk Islam yang telah ditetapkan dalam perlembagaan dan selaras dengan fatwa-fatwa peringkat kebangsaan dan fatwa negeri?
“Tidakkah ia merupakan peruntukan dalam perlembagaan yang selaras dengan Islam?,” soalnya.
Dalam perkembangan lain, Beliau berkata, adalah sangat ketara bahawa ahli-ahli parlimen DAP mempertikai Akta 164 yang berlangsung di Dewan Rakyat lalu.
“Dipertikaikan oleh ahli-ahli Parlimen DAP ialah kenapa tidak dimasukkan cadangan pindaan 88a yang membolehkan agama anak ditentukan secara bersama oleh ibu dan bapa sedangkan mereka tahu cadangan pindaan itu bercanggah dengan perlembagaan dan bercanggah dengan Islam?
Ahli Parlimen Kuala Nerus itu turut mendakwa Islam tidak akan selamat dibawah tampuk pemerintahan DAP jika parti itu berjaya menumbangkan BN pada pilihan raya nanti.
“Kegagalan Umno/Bn menguruskan negara secara berhemah berasaskan prinsip Islam telah menjadi modal DAP untuk mengambil alih tampuk pemerintahan negara.
“Namun, percayalah Islam tidak akan selamat di bawah pemerintahan DAP.
Semalam, akhbar Sinar Harian melaporkan bahawa DAP menyatakan sokongan terhadap prinsip agama Islam di negara berdasarkan Perlembagaan Malaysia, demikian menurut Penasihat DAP, Lim Kit Siang.
“Ia juga mencerminkan hubungan antara DAP dengan PAS hari ini, di mana perubahan yang dibawa parti itu di bawah pimpinan Datuk Seri Abdul Hadi Awang berbanding sebelum ini di mana mereka mengamalkan dasar terbuka, toleransi dan inklusif di bawah pimpinan Datuk Seri Nik Abdul Aziz Nik Mat, Datuk Fadzil Noor dan juga Yusuf Rawa,” kata Lim Kit Siang yang dipetik dari laman blognya semalam.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan