SHAH ALAM: Barisan Nasional (BN) Selangor akan menjelajah ke seluruh
negeri itu menerusi siri ceramah 'Jelajah Kasih Negeriku' bertujuan
menyampaikan maklumat terkini membabitkan isu tempatan dan nasional
selain menjadi medium komunikasi dengan rakyat Selangor.
Ketua Penerangannya Datuk Mohamad Satim Diman berkata jelajah yang
berkonsepkan santai dan berinformasi itu akan bermula pertengahan bulan
ini meliputi kesemua 22 kawasan Parlimen dan 56 kawasan Dewan Undangan
Negeri (DUN).
"Kita akan turun ke semua kawasan ini kerana kita dapat banyak aduan
dan maklumat mengenai kegagalan kerajaan negeri Selangor di bawah
pakatan pembangkang untuk berkhidmat kepada rakyat serta memungkiri
janji yang dibuat ketika pilihan raya umum (PRU) sebelum ini seperti
penyediaan pendidikan percuma dan infrastruktur yang baik.
"Kita nak pastikan rakyat Selangor mendapat pembelaan sewajarnya dan
pada masa sama menerusi jelajah ini BN akan dekati rakyat Selangor untuk
jelaskan isu-isu nasional yang dimomokkan kepada mereka oleh
pembangkang seperti isu GST (Cukai Barang dan Perkhidmatan) dan 1MDB
(1Malaysia Development Berhad)," katanya pada sidang media semalam.
Selain itu Mohamad Satim berkata Jelajah Kasih Negeriku akan membuka
peluang kepada kumpulan sasar untuk melontarkan idea dan berkongsi
pelbagai maklumat bagi membolehkan pihaknya merangka jalan penyelesaian
termasuk menyediakan manifesto BN Selangor pada PRU ke-14 (PRU14).
Menurutnya siri jelajah itu akan bermula di DUN Selat Klang dan akan diteruskan ke kawasan DUN lain sehingga tiba PRU14.
Beliau berkata BN Selangor turut memperkenalkan talian khas hotline
019-7917936 sebagai saluran maklumat bagi memudahkan rakyat membuat
aduan membabitkan kawasan mereka.
No comments:
Post a Comment