Wednesday, September 6, 2017

[KEMASKINI] Kerugian BNM cecah 10 kali ganda pada 1994, kata Zeti

Oleh Wan Anis Ilyani Wan Mohammad Azhar
Post Pic
 
 
PUTRAJAYA: Bekas Gabenor Bank Negara, Tan Sri Dr. Zeti Akhtar Aziz memberitahu Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) hari ini bahawa Bank Negara Malaysia (BNM) menanggung kerugian sehingga sepuluh kali ganda selepas ia memulakan urus niaga mata wang asing (Forex) pada 1988.
 
Zeti, saksi ke-16 pada prosiding yang memasuki hari kelima memaklumkan jumlah kerugian itu sebanyak RM31.506 bilion antara tahun 1991 hingga 1994.
 
"Jumlah kerugian keseluruhan dialami BNM dalam urus niaga forex bagi 1988 dan 1989 ialah RM3.503 bilion dan bagi tahun 1991 hingga 1994, kerugian ialah RM31.506 bilion. 
 
"Keuntungan pada 1990 ialah RM2.473 bilion," katanya ketika memberi kenyataan di prosiding RCI berkenaan urus niaga BNM dan forex sekitar 1990-an pada pagi tadi.
 
Zeti memulakan perkhidmatannya di BNM pada 1981, dan dilantik sebagai Gabenor pada tahun 2000.
 
Beliau sekali lagi dilantik ke jawatan itu pada 2011 sehingga Mei 2016.
 
Dalam prosiding yang sama, Zeti juga diajukan panel sejak bilakah beliau mula mengetahui kerugian yang dihadapi BNM. 
 
Beliau menjawab perkara itu hanya diketahui pada tahun 1994 ketika berkhidmat di bank pusat itu di London.
 
"Pada masa itu saya masih bekerja di pejabat di London dan saya hubungi pegawai kanan di BNM untuk mengetahui apa yang berlaku dan diberitahu BNM mengalami kerugian daripada pengurusan rizab," katanya. 
 
Terdahulu pada prosiding pertama RCI 21 Ogos lalu, Pengerusinya, Tan Sri Mohd Sidek Hassan membuat kesimpulan urus niaga membabitkan BNM dengan mata wang asing (forex) sekitar 1991 hingga 1994 bernilai sekurang-kurangnya RM31.5 bilion.
 
Bagaimanapun peguam yang mewakili Tun Dr Mahathir Mohamad, Mohamed Haniff Khatri Abdulla meminta Sidek menarik semula kesimpulan berkenaan, menyifatkan ia sebagai pra-matang memandangkan prosiding belum selesai sepenuhnya.
 
Sidek kemudiannya meminta diberikan masa berhubung gesaan untuk dirinya menarik semula kesimpulan tersebut.
 
 

No comments: