Oleh Noor Azam Shairi, Bede Hong
KEPIMPINAN Dr Mahathir Mohamad menuju Pilihan Raya Umum Ke-14 adalah antara kesan besar yang dibawa oleh Bersatu selepas setahun parti itu muncul dalam gelanggang politik Malaysia, kata penganalisis.
Bagaimanapun penganalisis berpendapat kekuatan Bersatu sangat bergantung dan menumpang kepada personaliti Dr Mahathir sehingga timbul tanda tanya, apa akan jadi pada parti itu sekiranya pengerusi mereka itu sudah tiada.
Penganalisis mengakui belum nampak gambaran jelas bagaimana parti serpihan Umno itu boleh bertahan sekiranya berlaku sesuatu kepada pengerusi parti itu yang kini berumur 92 tahun.
“Jelas kalau kita tengok, Bersatu ini menumpang atas faktor Dr Mahathir. Dr Mahathir ini ibaratnya tiang seri Bersatu. Kalau tidak ada Dr Mahathir, kita tidak tahu apa yang boleh berlaku pada Bersatu,” kata Pengarah Ilham Centre, Hisommudin Bakar
“Itulah sebabnya sekarang ini kita tengok betapa hebatnya serangan dilakukan terhadap Dr Mahathir. Ini semata-mata adalah untuk mengurangkan atau mengendurkan pengaruh Dr Mahathir yang seterusnya akan melemahkan sokongan rakyat kepada Bersatu,” tambahnya.
Hisommudin merujuk kepada isu masa lalu yang dibangkitkan semula dan dikaitkan dengan pentadbiran 22 tahun bekas perdana menteri itu, termasuk peristiwa berdarah Memali 1985 dan kerugian Bank Negara Malaysia akibat urus niaga mata asing antara 1988 dan 1994.
Kerugian Bank Negara Malaysia itu sedang disiasat oleh Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) manakala baru-baru ini, kerajaan turut menyatakan kesediaan menubuhkan RCI untuk menyiasat peristiwa Memali.
Bersatu yang diluluskan pendaftarannya oleh Pendaftar Pertubuhan pada 8 September 2016 merayakan ulang tahun pertama dengan rapat umum yang digelar Himpunan Rakyat Bermaruah di Muar, Johor, hari ini.
Hisommudin menambah kepimpinan dan personaliti dua lagi pemimpin kanan Bersatu, Presiden Muhyiddin Yassin dan Timbalan Presiden Mukhriz Mahathir belum cukup kuat pengaruhnya di peringkat nasional berbanding Dr Mahathir.
“Muhyiddin dan Mukhriz masing-masing nampak lebih berpengaruh di negeri, di Johor dan di Kedah,” tambahnya.
Menurut Hisommudin, faktor Dr Mahathir bukanlah sesuatu yang boleh diremehkan dan Barisan Nasional (BN), katanya, cukup menyedari pengaruh bekas perdana menteri itu dalam PRU14 akan datang.
Beliau membandingkan bagaimana Dr Mahathir menggerakkan kempen menjatuhkan penggantinya Abdullah Ahmad Badawi dengan kempen yang sekarang sedang beliau terajui bersama Pakatan Harapan (PH).
“Dulu masa lawan Pak Lah (Abdullah), Dr Mahathir hanya menulis di blog, mendapat sokongan daripada blogger dan tidak ada parti politik.
“Tetapi sekarang, beliau sudah ada parti politik dan ada jentera, media juga sudah berkembang dengan lebih pesat dan beliau juga mengetuai pembangkang,” kata Hisommudin, merujuk kepada kedudukan Dr Mahathir sebagai pengerusi PH.
“Saya yakin, ini tentunya menggusarkan Umno,” tambahnya.
Jelas beliau, Umno wajar bimbang kerana faktor Dr Mahathir merentas kekuatan Bersatu malah melangkau pengaruh PH sendiri.
Bersatu melalui kempennya mengintai kerusi di kawasan majoriti Melayu di pedalaman termasuk yang terletak dalam 54 kawasan petempatan Felda.
Sementara itu, penganalisis politik dari Universiti Malaya, Dr Awang Azman Awang Pawi berkata penglibatan aktif Dr Mahathir dalam gerakan pembangkang ini memberikan kesan emosi dan psikologi yang seterusnya boleh mempengaruhi rakyat untuk tidak menyokong BN.
Kata beliau, hasil kajian pihaknya di lapangan mendapati faktor Dr Mahathir cukup kuat bersandarkan kepada dua persoalan utama yang bermain dalam fikiran umum tentang penglibatan politik bekas presiden Umno itu sehingga ke hari ini.
“Orang bertanya mengapa Dr Mahathir keluar Umno, mesti ada sebab yang besar. Orang melihat juga pada umur beliau sekarang ini, Dr Mahathir ini berjuang untuk apa lagi, untuk negara atau peribadi?” katanya.
Jelas beliau, semua aktiviti politik yang disertai Dr Mahathir daripada demonstrasi di jalan raya sehinggalah perhimpunan ceramah pada hampir setiap minggu, secara tidak langsung memberi inspirasi kepada rakyat, terutamanya golongan muda.
“Ia menimbulkan satu perasaan kalau Dr Mahathir pada usia seperti itu masih begitu, kenapa tidak mereka juga,” katanya.
Pengarah Institut Asia di Universiti of Tasmania, James Chin bagaimanapun berkata kalau Dr Mahathir begitu popular dan pengaruhnya besar kepada politik melawan BN, bekas perdana menteri itu mesti bertanding dalam PRU14.
Jika tidak, katanya, pengaruh itu tidak ada gunanya dan sia-sia.
“Kalau Dr Mahathir tidak bertanding, bagaimana beliau hendak mengepalai pilihan raya?” kata editor bersama buku Malaysia Post-Mahathir: A Decade of Change? itu.
Menteri Pertahanan Hishammuddin Hussein sebelum ini mencabar Dr Mahathir bertanding di kerusi Parlimen Pekan, “kalau berani”.
Cabaran naib presiden Umno itu dijawab oleh Dr Mahathir yang mencabar Hishammuddin pula untuk bertanding di Parlimen Langkawi.
Langkawi memberikan dukungan padu kepada Dr Mahathir antara lain kerana sentimen terima kasih atas sumbangan beliau mengubah ekonomi pulau pelancongan semasa menjadi perdana menteri.
Sementara itu, Awang Azman yang menjalankan kajian bebas pilihan raya di beberapa tempat di seluruh negara memberitahu sentimen di akar umbi di kawasan-kawasan kajiannya menunjukkan Bersatu kurang mengumpulkan ahli tetapi tidaklah bermakna sokongan terhadap parti itu kecil.
“Kita tahu jelas bahawa kebanyakan ahli Bersatu ini dulunya ahli Umno. Tetapi dapati ada juga ahli Umno yang bersimpati menyokong Bersatu walaupun tidak mendaftar sebagai ahli, atas pelbagai alasan mereka sendiri,” katanya.
Malah beliau menarik perhatian kepada perpecahan dalaman PAS yang melahirkan parti serpihan Amanah menyebabkan sokongan golongan profesional bukan ahli PAS yang dulu menyokong parti Islam itu kini terpecah dua, antara Amanah dan Bersatu.
Awang Azman bagaimanapun menyifatkan kekuatan Bersatu masih belum dapat menandingi kekuatan akar umbi Umno dan PAS yang sudah kukuh.
“Bersatu ini ada kepimpinan di peringkat atasan tetapi di peringkat pusat daerah mengundi, ia tidak sekuat Umno dan PAS,” katanya, sambil menarik perhatian kepada kedudukan PKR pada PRU1999, yang ketika itu dikenali dengan nama Parti Keadilan Nasional (Keadilan) — sebuah parti baru dan tidak ada jentera yang kuat.
Keadilan ditubuhkan pada 4 September 1999, setahun selepas bekas timbalan perdana menteri dipecat oleh Dr Mahathir daripada kerajaan dan melancarkan gerakan Reformasi, hampir tiga bulan sebelum pilihan raya.
Dalam PRU10 itu, Keadilan bertanding 47 kerusi Parlimen dan 72 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN). Ia hanya menang 5 kerusi Parlimen dan 4 kerusi DUN.
“Dr Mahathir ini talian hayat yang cukup penting bagi Bersatu. Apa-apa berlaku pada Dr Mahathir akan beri kesan parti itu dan Pakatan Harapan amnya,” katanya
Tiada ulasan:
Catat Ulasan