Sabtu, 2 September 2017

Ambiga kecewa PKR masih dihimpit konflik dalaman

 
Menerusi siri tweet hari ini, Ambiga berkata PKR membenarkan pertengkaran dalaman sehingga bakal menjejaskan parti kelak sedangkan BN di sebalik pelbagai kekurangan bekerja keras sejak beberapa bulan lalu.


ambiga_pkr_new_600


PETALING JAYA: Peguam dan aktivis terkemuka, Datuk Ambiga Sreenevasan mengkritik PKR kerana masih dihimpit konflik dalaman yang menurut beliau tidak baik bagi parti gabungan Pakatan Harapan (PH) itu menjelang Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Menerusi siri tweet hari ini, Ambiga berkata PKR membenarkan pertengkaran dalaman sehingga bakal menjejaskan parti itu kelak.

Beliau berkata Barisan Nasional, di sebalik pelbagai kekurangan, bekerja keras sejak beberapa bulan yang lalu untuk menghadapi PRU14.

“Bersatu (PPBM) juga melakukan perkara yang sama.

“PKR membenarkan pertengkaran dalaman untuk mengheret mereka ke bawah (menjejaskan prestasi). Kami tidak berminat dengan masalah dalaman mereka,” kata bekas pengerusi Bersih 2.0 ini.

Ambiga berkata jika pemimpin de facto PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim keluar dari penjara, beliau akan menjelajah ke seluruh negara untuk “bercakap dan bersama rakyat.”

“Beliau tahu hanya dengan kerja keras boleh memenangi pilihan raya.”

Ambiga berkata, daripada bertelagah sesama sendiri, PKR perlu bertindak secara aktif untuk merangka manifesto, yang mana ramai masih kabur mengenainya.

Kata Ambiga, beliau tidak pasti sama ada sudah cukup untuk memenangi persaingan 1 lawan 1, apalagi pertandingan membabitkan 3 penjuru dalam PRU14.

“Saya tidak mahu berlaku tidak adil. Saya pasti ada yang bekerja keras. Tetapi setiap orang perlu (bertindak begitu). Dan, ia belum jelas.

“(Perdana Menteri, Datuk Seri) Najib (Razak) berada di lapangan walaupun semasa Sukan SEA. Jangan katakan media arus perdana tidak adil,” kata beliau sambil menambah, portal dalam talian sepatutnya menanyakan soalan-soalan yang sukar dan bukannya menutup pertikaian dalaman PKR.

“(Media) atas talian adil tetapi terutamanya dalam melaporkan mengenai pertikaian. Sekiranya saya salah, saya gembira (jika) dapat diperbetulkan,” katanya.

Kebelakangan ini, PKR dilihat dihimpit konflik dalaman, yang paling terkini adalah isu ekoran usaha Timbalan Presiden PKR Datuk Seri Mohamed Azmin Ali mengadakan perbincangan dengan PAS untuk menghalang persaingan 3 penjuru.

Tindakan Azmin tidak diterima dengan baik oleh beberapa pemimpin parti, termasuk Ahli Parlimen Selayang, William Leong yang baru-baru ini mengumumkan peletakan jawatan dari biro politik, badan pembuat keputusan tertinggi dalam PKR.

Memburukkan keadaan adalah kenyataan Naib Presiden parti, Rafizi Ramli yang berkata, sejak 2015, kepimpinan parti telah berpecah dalam isu hubungan dengan PAS.

Tiada ulasan: