Oleh Wan Anis Ilyani Wan Mohammad Azhar
SHAH ALAM: Amanah hairan mengapa surat terbaru daripada Ketua Umum
Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim disensasikan sehingga
dilihat cuba menghuru-harakan PH, kata Setiausaha Agungnya, Anuar Tahir.
"Amanah tidak anggap ia perkara besar. Anwar sudah buat banyak
kenyataan, namun mengapa pada kali ini semua orang seperti berminat
sangat?," soalnya sewaktu dihubungi Antarapos.
Anwar baru-baru ini mengesahkan beliau mempersetujui usaha Timbalan
Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali untu berunding dengan PAS
bagi membentuk kerjasama politik dalam usaha menumbangkan Umno-Barisan
Nasional (BN) dalam PRU14.
Respon Anwar itu dilihat berbeza dengan pendirian Mesyuarat Majlis
Presiden PH pada 29 Ogos lepas yang memuktamadkan gabungan itu menutup
pintu rudingan dengan PAS dan bersedia untuk pertandingan tiga penjuru
pada pilihan raya akan datang.
Malah respon Anwar, menerusi surat itu juga disifatkan Pengerusi PH,
Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai 'bermasalah', seolah-olah memberi lampu
hijau kepada PKR untuk terus berunding dengan PAS.
Ditanya penerimaan Amanah terhadap surat itu, Anuar berkata partinya
menganggap respon Anwar itu 'sama-rata' terhadap kumpulan-kumpulan di
dalam PKR yang mempunyai berbeza pandangan.
"Kami menerima, menghormati pandangan sesiapa pun. Sudah tentulah apa
yang ditulis oleh Anwar itu 'sama-rata'. Tidaklah yang boleh kita anggap
sebagai 100 peratus menyokong tindakan dibuat Azmin. Barangkali
pandangannya itu menghormati pandangan dipihak lain, seperti Rafizi
Ramli (Naib Presiden PKR).
"Jika hendak melaga-lagakan sesama mereka dalam PH, sesama PKR, ia
boleh dilakukan, namun kita tak tahu apa keuntungannya? Pada saya orang
bebas mengeluarkan pandangan," kata Anuar.
Malah beliau juga senada dengan salah satu kandungan surat Anwar itu
supaya jika ada pun rundingan PKR dan PAS membuahkan hasil, ia haruslah
berlaku dalam kerangka komitmen PKR dengan PH.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan