SHAH ALAM: Pendakwah Islam yang diaggap kontroversi Dr Zakir Naik
menafikan bahawa ucapannya menggalakkan keganasan dan mengalu-alukan
siasatan terhadapnya.
Ini susulan laporan bahawa dua daripada pengganas yang terbabit dalam
pembunuhan 20 tebusan di Dhaka, Bangladesh, adalah pengikut media sosial
Zakir, yang berpangkalan di Mumbai, India.
"Ini sama sekali tidak logik untuk mengatakan bahawa saya menggalakkan
keganasan," katanya, seperti yang dilaporkan oleh CNN-News18 semalam.
"Tidak satu pun agensi penyiasatan mendakwa bahawa Dr Zakir Naik
menggalakkan keganasan. Kementerian Dalam Negara amat dialu-alukan untuk
meneliti semua ucapan saya.
"Saya mempunyai pengikut yang ramai. Saya mungkin menjadi inspirasi
kepada mereka tetapi saya tidak mengenali mereka secara peribadi.
"Saya bimbang media dan ahli politik kerana mereka mungkin memburukkan
imej saya. Ada orang yang menggunakan gambar saya dan salah memetik
kata-kata untuk memfitnah saya. Saya mengalu-alukan sebarang siasatan
terhadap saya," katanya.
Zakir juga menafikan bahawa beliau pernah menggesa semua umat Islam
supaya menjadi pengganas, sambil menambah bahawa video di mana beliau
didakwa berbuat demikian sebenarnya telah dipalsukan.
Begitu juga, beliau berkata video yang disebarkan di media sosial
berhubung ucapan kontroversinya mengenai Osama bin Laden, juga telah
dipalsukan.
Katanya, beliau tidak pernah mengenali Osama dan beliau tidak pernah
melabelkan bekas pemimpin al-Qaeda itu sebagai seorang wali mahupun
seorang pengganas.
"Saya sentiasa berdakwah bahawa umat Islam tidak seharusnya mengancam
sesiapa sahaja ... Sesiapa yang membunuh orang, sama ada dia Islam atau
bukan Islam, akan masuk neraka.
"Saya kata setiap Muslim perlu menjadi pengganas kepada semua unsur
anti-sosial. Adalah malang bahawa ada orang mendakwa bahawa saya
menggalakkan keganasan," katanya.
Walau bagaimanapun, Menteri Penerangan Bangladesh Hasanul Haq Inu
berkata terdapat laporan bahawa dua daripada penyerang mendapat
inspirasi daripada Zakir.
"Kami sedang berhubungan dengan ulama untuk meneliti ucapan Naik ini.
Terdapat aduan terhadapnya di negara ini kerana ucapan kontroversi.
"Agensi-agensi menyiasat kami sedang mengkaji semua sudut tetapi saya
tidak berada dalam kedudukan untuk mendedahkan segala-galanya pada masa
ini," kata menteri itu.
Sebelum ini, seorang menteri India, Kiren Rijiju berkata agensi penyiasatan negara itu sedang juga meneliti ucapan Zakir.
Sabtu lalu, sekumpulan lelaki bersenjata sambil melaungkan "Allahu
Akbar" menyerang sebuah kafe mewah di ibu negara Bangladesh dan membunuh
20 orang.
Polis kemudiannya menyerbu bangunan itu dan menyelamatkan 13 tebusan.
Dilaporkan bahawa enam lelaki bersenjata terbunuh dalam operasi itu
manakala seorang daripada mereka ditawan oleh polis.
Isnin lalu, Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar mengesahkan dua
daripada penyerang itu pernah belajar di Universiti Monash di Sunway,
tetapi tidak dapat mengesahkan jika mereka adalah penyerang ataupun
mangsa.
Universiti Monash juga memaklumkan bahawa pihaknya masih belum menerima
sebarang pengesahan jika bekas pelajarnya adalah mangsa atau pengganas.
No comments:
Post a Comment