GEORGETOWN: Kerajaan DAP Pulau Pinang hanya menunggu jawapan daripada
PKR, selepas Amanah menyatakan sokongan terhadap cadangan mengadakan
pilihan raya mengejut di negeri itu.
Ketua Menteri, Lim Guan Eng yang dipetik mStar berkata, parti pimpinan
Mohamad Sabu itu telah menyatakan persetujuan untuk bertanding pada
pilihan raya negeri Pulau Pinang sekiranya Dewan Undangan Negeri (DUN)
dibubarkan.
"Sekarang ini hanya tinggal PKR. Kami berharap pemimpin mereka akan
membuat keputusan untuk menyokong usaha tersebut pada Selasa.
"Saya tahu PKR bimbang kehilangan kerusi. Kami juga bimbang.
"Tetapi masa depan Pulau Pinang akan menjadi cerah sekiranya kita
mempunyai kepercayaan dan keyakinan terhadap kebijaksanaan rakyat,"
katanya kepada orang ramai yang menghadiri taklimat awam kerajaan negeri
bertajuk 'Masa Depan Pulau Pinang' di sini malam tadi.
Mohamad atau Mat Sabu turut tampil di pentas tetapi tidak mengumumkan perkara itu.
Ditanya kemudian, Mat Sabu berkata beliau menjangkakan pengumuman itu
akan dibuat pada Mesyuarat Majlis Presiden (MMP) Pakatan Harapan.
"Kami belum membincangkan pembahagian kerusi lagi. Kami akan menunggu keputusan PKR terlebih dahulu," katanya kepada pemberita.
No comments:
Post a Comment