KUALA LUMPUR: Pengerusi Pasukan Petugas Pemantau Jenayah Malaysia
(MyWatch), Datuk R Sri Sanjeevan dilepas dan dibebaskan daripada
perintah tahanan reman selama 21 hari yang dikenakan terhadapnya
mengikut Akta Pencegahan Jenayah 2013 (Poca).
Pesuruhjaya Kehakiman Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Datuk Mohd Shariff
Abu Samah memerintahkan demikian selepas membenarkan permohonan habeas
corpus yang dikemukakan Sanjeevan bagi mencabar penahanannya.
Ketika membuat keputusan itu Mohd Shariff berkata, tempat penahanan
pemohon (Sanjeevan) memberikan pelbagai tafsiran yang mewujudkan
pelbagai kekeliruan mengenai penahanannya.
"Dengan menggunakan kausa semakan sebagaimana dalam bab 31 Kanun
Prosedur Jenayah, dalam memastikan aspek penahanan Poca wajib di
patuhi," katanya.
Sehubungan itu, katanya mahkamah membenarkan pemohonan pemohon secara serta merta.
Pada 11 Julai lalu, Mahkamah Majistret Kuala Lumpur membenarkan
permohonan polis untuk menahan reman Sanjeevan, bagi membantu siasatan.
Perintah reman itu akan berakhir pada 31 Julai ini.
Media sebelum ini melaporkan polis menahan Sanjeevan, 32, bersama
pemandunya selepas disyaki meminta wang perlindungan daripada seorang
ahli perniagaan.
Tangkapan dibuat susulan laporan polis oleh seorang pengadu mendakwa
Sanjeevan mengugut mahu menyiarkan fitnah mengenainya melalui laman
sosial Facebook sekiranya tidak membayar wang perlindungan RM25,000.
No comments:
Post a Comment