ANTARAPOS.COM
JERTIH: Empat kediaman termasuk rumah yang didiami seorang peserta
Projek Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) musnah dipukul ribut di Kampung
Tok Raja, dekat sini, petang semalam.
Ketika kejadian itu kira-kira jam 6.30 petang, semua keluarga terbabit
sedang berehat di rumah masing-masing selepas menyambut tetamu yang
datang berhari raya.
Bagaimanapun, mereka dikejutkan dengan hujan lebat berserta angin kencang selama hampir 10 minit yang memusnahkan rumah mereka.
Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kampung
Tok Raja, Johari Salleh, berkata angin kencang yang melanda itu tidak
lama namun menyebabkan kebanyakan rumah rosak teruk termasuk bumbung
tercabut.
Katanya, kejadian itu juga menyebabkan sebuah rumah PPRT yang didiami
ibu tunggal bersama empat anak rosak teruk apabila keseluruhan
bumbungnya tercabut diterbangkan angin.
"Bagaimanapun, tiada laporan berhubung kemalangan jiwa setakat ini.
Kami sedang berusaha mengenal pasti jumlah kerugian mangsa untuk
menyediakan bantuan bagi membaiki kerosakan," katanya ketika ditemui di
sini.
Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Pembangunan Wanita,
Keluarga dan Masyarakat Negeri, Datuk Muhamad Pehimi Yusof yang juga
ADUN Jertih, turut melawat mangsa sebaik dimaklumkan mengenai kejadian
itu petang semalam.
Muhamad Pehimi berkata, kerajaan negeri akan memberi bantuan kepada
semua mangsa terbabit bagi membolehkan mereka tinggal di rumah berkenaan
seperti biasa.
No comments:
Post a Comment