Oleh Wan Anis Ilyani Wan Mohammad Azhar
SHAH ALAM: Tindakan DAP Pulau Pinang membatalkan hasrat untuk
mengadakan Pilihan Raya Negeri (PRN) mengejut menunjukkan parti itu
tidak bertindak sendirian, demikian menurut Pengerusi Amanah Pulau
Pinang, Datuk Dr Mujahid Yusof Rawa.
"Amanah Pulau Pinang menganggap pengumuman Ketua Menteri bahawa tiada
pilihanraya negeri mengejut adalah tanda komitmen DAP yang berjanji
bahawa ia tidak akan mengumumkan PRN secara unilateral tanpa konsensus
dari kedua-dua lagi rakannya," katanya dalam satu kenyataannya hari ini.
Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng pada hari ini mengumumkan
kerajaan negeri tidak akan meneruskan PRN selepas tidak mendapat
persetujuan dari rakan komponennya, PKR.
Pendirian PKR itu disampaikan melalui Timbalan Presidennya, Datuk Seri
Mohamed Azmin Ali selepas parti itu sebelum ini mengambil pendirian
tidak yakin dengan cadangan mengadakan pilihan raya berkenaan.
Sehubungan itu Guan Eng mengadakan rundingan bersama pimpinan DAP dan sepakat bahawa PRN itu tidak akan diteruskan.
Sebelum ini Guan Eng memaklumkan hasrat DAP mengadakan PRN mengejut disokong oleh Amanah.
Sementara itu Amanah membidas sikap PAS yang memperlekehkan sokongannya
terhadap cadangan DAP, sementelah ia merupakan sebuah parti baru yang
diserap masuk ke dalam Pakatan Harapan (PH).
"Amanah juga mengambil serius semasa proses perundingan berlaku bahawa
ada sesetengah pihak yang memandang rendah keberadaan Parti Amanah dalam
suasana parti kami berhadapan dengan berbagai 'serangan' dan 'ugutan'
dari PAS.
"Amanah mengharapkan tiada lagi sindiran sinis kononnya Amanah parti
baharu kerana masa untuk persediaan PRU masih ada dan segala pandangan
sinis ini perlu diselesaikan untuk PH menjadi kukoh termasuk hubungan
dengan parti PAS," tegas Mujahid lagi.
Sebelum ini, DAP berkeras mahu mengadakan PRN selepas Guan Eng terpalit
tuduhan rasuah, apabila cuba menukar status tanah (zon pertanian kepada
zon komersil) dan membeli sebuah banglo di bawah harga pasaran di Jalan
Pinhorn, George Town.
DUN Pulau Pinang mempunyai 40 kerusi dengan DAP menguasai 19 kerusi, PKR 10, Barisan Nasional (BN) 10 dan PAS 1.
No comments:
Post a Comment