Zulaikha Zulkifli
Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Azmin Ali hari ini enggan mengulas
mengenai khutbah Aidilfitri yang dikeluarkan Jabatan Agama Islam
Selangor (JAIS) berhubung rang undang-undang persendirian oleh Datuk
Seri Abdul Hadi Awang.
Ketika diminta ulasannya berhubung khutbah Aidilfitri Rabu lalu yang
dilihat 'menyokong' rang undang-undang presiden PAS itu, Azmin sekadar
berkata:
"(Khatib) tak sebut pun nama presiden PAS (Abdul Hadi)," katanya
ringkas kepada pemberita semasa ditemui di Majlis Rumah Terbuka
Aidilfitri kerajaan negeri Selangor di ibu negara hari ini.
Rabu lalu, JAIS mengeluarkan khutbah Aidilfitri yang melahirkan rasa
syukur berhubung kemenangan umat Islam dengan pembentangan rang
undang-undang persendirian oleh Abdul Hadi.
Malah, khutbah itu turut menyatakan syukur dengan keputusan Mahkamah
Tinggi Kuala Lumpur yang menolak cabaran daripada kumpulan Sister in
Islam (SIS) terhadap fatwa Selangor yang mengisytiharkan kumpulan itu
sebagai 'sesat'.
Khubah tersebut dibacakan di masjid-masjid seluruh Selangor pada pagi hari raya pertama.
Ia juga menggesa umat Islam untuk mengambil kesempatan pada musim
perayaan ini untuk saling bermaafan, meningkat hubungan silatulrahim dan
saling menziarahi sesama mereka.
Isu pelaksanaan hukum hudud dikatakan antara faktor yang membawa
kepada ‘kematian’ Pakatan Rakyat tahun lalu apabila DAP dengan lantang
menentang PAS yang mahu menjuarainya.
Meskipun terkubur, namun kerajaan Pakatan Rakyat di Selangor tidak
dibubarkan tetapi Azmin selaku menteri besar cukup berhati-hati kerana
kerajaan negeri pimpinannya akan tumbang jika tidak mendapat sokongan
ADUN PAS mahupun DAP.
Sementara itu, Rumah Terbuka Aidilfitri kerajaan negeri tersebut
turut dihadiri oleh Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah.
Malah kelihatan bersama adalah adik Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, Datuk Seri Mohd Nazir Razak.
Beberapa pimpinan PKR juha hadir, antaranya, presiden parti, Datuk
Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, naib presidennya Tian Chua dan Shamsul
Iskandar Mohd Akin.
No comments:
Post a Comment