Saturday, July 9, 2016

ASWAJA buat laporan polis ke atas Dr. Asri

 
 
Dr. Asri menjawab laporan berita dari portal Malaysiakini
Dr. Asri menjawab laporan berita dari portal Malaysiakini


Pertubuhan Ahli Sunnah Wal Jamaah Malaysia (ASWAJA) kesal dengan sikap Mufti Perlis, Datuk Dr. Asri Zainul Abidin yang berterusan mengaitkan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) itu dengan kumpulan Barisan Bertindak Hak Asasi Hindu (HINDRAF).

Dalam kenyataan hari ini, jurucakap ASWAJA memberitahu, pihaknya akan membuat laporan polis terhadap Dr. Asri, selain bertindak mengheretnya ke mahkamah di atas tuduhan yang dianggap biadab itu.

“Ini satu kenyataan jelek yang tidak sepatutnya keluar dari mulut seorang mufti apabila menyamakan ASWAJA dengan NGO bukan Islam berkenaan dalam isu penceramah bebas Dr. Zakir Naik.

“Malah ASWAJA sudah berkali-kali menjelaskan yang kita tidak pernah terbabit dalam isu pendakwah bebas itu sebagaimana tuduhan Dr. Asri.

“Amat malang bagi kita sebagai umat Islam yang baharu saja melalui bulan Ramadan, seorang mufti sanggup mengeluarkan kenyataan fitnah tanpa rasa malu atau bersalah,” katanya dalam kenyataan kepada media di sini, hari ini.

Semalam menerusi laman sosial Facebooknya, Dr. Asri dikatakan mengkritik sebuah portal politik yang mengaitkan pengeboman di Dhaka, Bangladesh dilakukan oleh individu yang pernah mengikuti ceramah Dr. Zakir Naik.

Dalam tulisannya itu, beliau turut mengaitkan ASWAJA sebagai sebuah pertubuhan yang sama dengan HINDRAF kerana menolak kehadiran Dr. Zakir Naik ke Malaysia baru-baru ini.

Sementara itu, menurut jurucakap berkenaan, ASWAJA tidak boleh berdiam diri lagi dengan perangai Mufti Perlis itu yang berterusan memfitnahnya.

“Apakah Dr. Asri berfahaman wahabi kerana tidak tahu menjaga akhlaknya dalam melontarkan fitnah, malah tidak malu dengan kedudukannya sebagai seorang mufti?

“Bertaubatlah, seorang mufti sepatutnya menyatukan umat Islam, bukan memecahbelahkan umat Islam,” katanya. -- MalaysiaGazette


No comments: