Thursday, July 7, 2016

Mula dengan kuah pecal, kini 'Masri' jadi pilihan utama pelanggan

Oleh Wan Anis Ilyani Wan Mohd Azhar
Post Pic
 
 
SUNGAI BESAR: Bermula dengan hanya menjual kuah pecal, kini pasangan Punari Salleh dan Mastura Senon mampu berbangga dengan berdiri megahnya MHP Enterprise yang menjadi pusat sehenti bagi pengusaha industri kecil dan sederhana (IKS).
 
Perniagaan yang pada awalnya untuk mencari sumber menyara kehidupan seharian keluarga akhirnya terus berkembang sehingga generasi kedua.
 
Kini, MHP Enteprise diterajui anak sulung pasangan berkenaan, Musleha Punari dengan membawa pelbagai idea baru bagi mengekalkan nama jenama yang dibawa bapanya itu.
 
"Pada permulaannya kita mula dengan penjualan kuah pecal yang diberi nama Masri. Kemudian apabila ayah mula menjualnya di pasar tani, pihak Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) nampak bahawa produk itu boleh diketengahkan. Pada permulaannya pembungkusannya ringkas sahaja. Kemudian FAMA sekali lagi merasakan produk itu semua orang boleh makan.
 
"FAMA membantu kami dari segi penjenamaan dan pembungkusan yang menarik. Kami mempunyai jenama Masri untuk pihak kami sendiri dan jenama Agromas yang dipunyai FAMA. Dari situ kami berpeluang produk ini untuk dipasarkan dan FAMA kemudiannya mengedarkan ke kawasan-kawasan yang lebih menyeluruh," katanya membuka bicara dalam temubual bersama Antarapos, baru-baru ini.
 
Sejak mula ditubuhkan pada 1992, MHP Enterprise kini mempunyai lebih 20 produk jenama Masri yang meliputi bahulu cermai, bahulu gulung, bahulu ikan, pelbagai jenis biskut raya dan kerepek-kerepek tradisional.
 
Menurut Musleha, permulaan bagi perniagaan makanan itu hanya dengan menyewa sebuah lot kedai di Sungai Leman, Sekinchan dan ia menjadi pusat pemprosesan makanan dan pusat jualan kepada para pelanggan.
 
Menyedari jenama Masri mula mendapat tempat di kalangan pelanggan dan permintaan yang semakin bertambah, pasangan Punari dan Mastura kemudiannya membuat keputusan untuk membina premis perniagaan sendiri lot kedai yang disewa dengan jumlah pelaburan RM500,000.
 
Wisma Masri, bangunan yang menjadi pusat sehenti pengusahaan industri kecil dan sederhana bukan sahaja terkenal di kalangan penduduk setempat, malah ada yang sanggup datang dari jauh semata-mata mahu mendapatkan produk yang dijual di sana.
 
"Kami juga beri ruang kepada pembekal-pembekal yang lain, selain daripada produk yang kami sendiri hasilkan, MHP Enterprise juga mempunyai produk usahawan lain bagi membantu mereka. Umpama sepotong kek, kita bahagikan setiap potongan itu untuk berkongsi rezeki.
 
"Pelanggan yang datang ke sini bukan sahaja dari kawasan berdekatan, 70 peratus pelanggan Masri adalah mereka yang tinggal di kawasan luar dan melalui Sabak Bernam," kata Musleha lagi.
 
Bukan itu sahaja, Wisma Masri menjadi antara lokasi utama di kalangan pelancong tempatan atau luar negara.
 
Menceritakan rutin menjelang hari raya, Musleha memaklumkan sudah menjadi kebiasaan untuk setiap kakitangan syarikat seperti tidak cukup tangan untuk menghasilkan produk-produk makanan mereka.
 
Yang pasti, selain aneka jenis kerepek, kuih bahulu sememangnya menjadi tumpuan utama pelanggan ketika membeli-belah sempena hari raya.
 
"Bahulu yang kami hasilnya rangup di luar, lembut di dalam dan itulah sebenarnya keistimewaan bahulu kampung. Malah kami tidak menggunakan bahan penaik, hanya bahan-bahan asas dengan kaedah pembuatan yang moden.
 
"Kami rasa sudah hasilkan banyak kuih bahulu, siang malam bekerja. Malah menjadi kebiasaan setiap tahun dengan kami tingkatkan jumlah pengeluarannya tetapi tetap tak cukup dan orang masih mencari-cari bahulu kami.
 
"Allah dah beri masa 24 jam, kami bekerja mula 7.30 pagi hingga 5 petang, kemudian sambung pula 5 petang kepada 11 malam, itu pun bahulu yang dihasilkan belum mencukupi.
 
"Pelanggan semakin bertambah, begitu juga permintaan yang sekali datang ke kedai beli dengan jumlah yang banyak. Strategi kami pada minggu pertama dan kedua puasa akan tumpu kepada peniaga. Minggu ketiga dan keempat akan tumpu kepada pelanggan runcit sebab kami tak mahu mereka pula tak dapat bahulu," tambahnya panjang lebar.
 
Malah melalui tinjauan kami juga ke ruang pembuatan bahulu mendapati ketuhar dan mesin tidak henti-henti menghasilkan bahulu dengan para pekerjanya juga sibuk melakukan tugas masing-masing.
 
Kedatangan kami pada awal bulan Ramadhan juga mendapati pelanggan sanggup beratur menunggu bahulu panas yang baru dihasilkan.
 
Melihat kepada keadaan ini, Musleha menyatakan keyakinannya untuk meneruskan perniagaan warisan ini supaya jenama Masri tetap menjadi pilihan pelanggan.
 
"Kami sentiasa berusaha meningkatkan produk kami, selain beri peluang kepada pengusaha IKS yang lain. Tetapi kami akan sentiasa memastikan kelebihan kami melebihi pengusaha IKS yang lain, dengan memberi harga yang berpatutan, layanan yang baik dan mesra. Itulah menjadi sebab mengapa pelanggan merasa senang dan suka untuk datang ke sini," kata Musleha.
 
Selain mampu menarik nafas lega jenama Masri sudah berjaya menembusi pasaran luar negara, syarikat itu juga kini merancang untuk menambah lagi produk IKS lain di pusat jualannya.
 
 

No comments: