Oleh Shuhaniza Said
AMPANG: Di kala insan seusia yang lain gembira menghabiskan sisa-sisa kehidupan bersama anak-anak dan cucu, namun, tidak bagi Samsiah Mohamad.
Pada usia menjangkau 70 tahun, Samsiah, 'bersendiri' tanpa kasih sayang
darah daging sendiri yang sepatutnya ada di sisi bagi membalas kembali
jasa insan bergelar seorang ibu.
Enggan terus makan hati, Samsiah tekad membawa diri ke Rumah
Perlindungan Nur Hati, sebuah kediaman yang menempatkan insan kurang
bernasib baik.
Menceritakan detik permulaan menjadi penghuni di Rumah Perlindungan Nur
Hati, Samsiah atau mesra disapa opah berkata, dirinya dipertemukan
secara tidak sengaja dengan wanita yang dipanggil umi (ibu), yang
merupakan pengasas kepada rumah ini.
"Bila dah tua tak ada suami dan menyewa rumah seorang diri, umi kata
tak perlu menyewa, dia ajak duduk sini. Itulah permulaannya," katanya
ketika dikunjungi Antarapos.
Menghuni Nur Hati sejak 12 tahun lalu, opah berkata kesedihannya
sedikit terubat apabila melayani keletah anak-anak kecil yang turut
berlindung di rumah ini.
Selain opah, rumah ini turut menempatkan 46 penghuni lain yang terdiri
daripada ibu tunggal, remaja mangsa rogol, kanak-kanak mangsa dera, bayi
tidak sah taraf, warga emas dan mualaf.
"Dulu masa mula-mula memang tak ok, banyak kecil hati, duduk
sorang-sorang, makan minum cari sendiri, anak-anak tak peduli, itulah
asal puncanya kita bawa diri. Kasih sayang tak ada, tak ada yang sayang
kita. Mereka sibuk kerja, memang tak kisah dengan kita. Itulah, kalau
dah tua, memang sensitif sangat-sangat
"Kita memang nak kasih sayang anak-anak, cucu.. tapi kalau mereka buat
tak tahu, lebih baik bawa diri ke sini. Kalau kamu nak tengok (lawat),
sila, kalau tak mahu, tak kisah," ujarnya sayu.
Opah berkata, tiga orang anaknya tinggal di sekitar Lembah Klang. Malah
ada kalanya ujar opah, anak-anaknya akan datang melawat di Rumah
Perlindungan Nur Hati.
Walaupun ada di antara anak-anaknya mempelawa untuk tinggal bersama,
namun opah enggan kerana 'tawar hati' di samping tidak mahu menjadi
bebanan kepada mereka.
"Ada.. tapi malas, biarlah mereka buat hal sendiri. Mereka banyak
tanggungan, nanti kita yang tua ini menyusahkan pula, susah lah," kata
opah.
Tambahan pula kata opah, tahap kesihatannya yang agak merosot
kebelakangan pastinya menjadi satu beban sekiranya tinggal bersama
anak-anak.
Ditanya sama ada dirinya langsung tidak merindui anak-anak apatah lagi
ketika umat Islam akan menyambut Aidilfitri beberapa hari lagi, ujar
opah, suasana raya lebih dirasakan meriah ketika di rumah ini.
"Waktu malam raya tu yang seronok, masak ketupat dan sebagainya
ramai-ramai. Tapi sekarang dah tak larat. tahun ini kesihatan agak
kurang, keluar masuk hospital," katanya yang kini menghidap kencing
manis dan asma.
Selama tinggal di rumah ini, dirinya sering 'berkongsi rasa' dengan warga emas lain yang senasib.
Enggan terus menyalahkan anak-anak, opah redha dengan nasib yang
dialaminya. Walaupun demikian, namun jauh di sudut hati opah
mengharapkan agar ada sinar kebahagian di hujung hayatnya sebelum
dijemput menghadap Ilahi.
"Orang tua ni sensitif, cakap sikit kita tak marah, mereka kata kita
marah. Jadi, anak-anak janganlah buat mak seperti itu. Kita dah alami
rasanya macam mana, sehingga bawa diri.
"Kecil hati dah sebenarnya. Bila duduk, mesti air mata mengalir, tapi sekarang dah ok," katanya sambil tersenyum tawar.
No comments:
Post a Comment