SHAH ALAM: Umno menerima keputusan naib presidennya, Datuk Seri Mohd
Shafie Apdal untuk keluar daripada parti itu, kata Setiausaha Agung Umno
Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor.
Beliau berkata menurut peraturan parti, sekiranya Mohd Shafie sudah
mengisytiharkan untuk keluar parti, secara automatik beliau bukan lagi
anggota Umno.
"Kita delete sahaja nama dia daripada keahlian (Umno)," katanya apabila
diminta mengulas pengumuman Mohd Shafie meninggalkan Umno hari ini.
Naib presiden Umno itu yang digantung keanggotaannya daripada parti
pada 24 Jun lalu, membuat pengumuman berkenaan ketika menghadiri majlis
Rakyat Bersama Anggota Parlimen Semporna, di Semporna Sabah hari ini.
Tengku Adnan berkata: "Sesiapa yang nak keluar daripada Umno,
silakan... sebab kita hanya perlukan ahli yang betul-betul
bertanggungjawab, setia dan amanah untuk berada dalam parti."
"Barangkali dia (Shafie) kecewa digugurkan jawatan daripada kabinet
atau mungkin ada sebab lain...dia tak patut ikut emosi, kalau sayang
parti jangan ikut emosi, macam-macam masalah boleh jadi," katanya.
No comments:
Post a Comment