Oleh Azizul Osman
SHAH ALAM: Seorang bekas tokoh DAP membidas langkah DAP menganjurkan
jelajah ‘Sokong, Simpati dan Solidariti untuk Lim Guan Eng’ kerana
tuduhan rasuah dihadapi Ketua Menteri Pulau Pinang itu adalah berkaitan
undang-undang.
“Beratus-ratus orang lain yang kena tangkap kerana rasuah itu tidak
buat siri jelajah pun. Kita bukan tidak ada sistem keadilan, jadi
biarlah jalan mengikut undang-undang," kata bekas Naib Pengerusi DAP,
Tunku Aziz Tunku Ibrahim.
Katanya, Guan Eng tidak sepatutnya mengadakan siri jelajah itu kerana
apa yang dihadapi beliau adalah berlandaskan kepada undang-undang dan
beliau tidak perlu gusar sekiranya tidak bersalah.
"Tidak patutlah buat secara itu kerana pertuduhan rasuah itu telah
dibuat berlandaskan kepada undang-undang. Jadi apa lagi nak (adakan
jelajah penerangan) kepada rakyat,” katanya kepada Antarapos.
Jumaat lalu, Jawatankuasa Kerja Pusat DAP memutuskan untuk membentuk
satu jawatankuasa kebangsaan untuk menganjurkan jelajah sebagai tanda
sokongan bagi Guan Eng.
Semalam 5,000 orang menyertai program ‘Solidariti Bersama Guan Eng’ di
Lebuh Pantai bagi menyatakan sokongan mereka terhadap Guan Eng yang
sedang berhadapan dua pertuduhan rasuah dan salahguna kuasa.
"Kalau mengikut undang-undang ada prosedur, ini apa pula? Kalau kena
tangkap katanya hilang motivasi dalam politik (political demotivated),
ini apa yang dia buat? Bukankah ini situasi politik tidak bermotivasi
(political demotivated demonstration), demonstrasi jalanan?
"Dalam situasi Guan Eng ini sebagai ketua menteri dia sepatutnya
hormati undang-undang. Ada undang-undang bukan kita sebuah negara yang
tidak ada undang-undang," tambah Tunku Aziz.
Tindakan DAP Pulau Pinang mengumpul kutipan derma RM1 juta sebagai wang
ikat jamin Guan Eng turut dibidas Tunku Aziz yang menyifatkan langkah
itu sekadar lakonan semata-mata untuk menunjukkan sokongan terhadap
Setiausaha Agung DAP itu.
Malah dakwaan rasuah terhadap Guan Eng adalah bersifat peribadi kerana
ia melibatkan sebuah banglo yang dibeli di bawah harga pasaran daripada
pemilik yang mungkin mempunyai urusan negeri atau mendapat manfaat
daripada jawatannya sebagai Ketua Menteri.
"Cuba kita tengok, ini duit ikat jamin boleh diambil kembali bila dah
habis kes, duit itu akan bagi balik bukan kerajaan atau mahkamah nak
pegang, jadi ini satu lakonan untuk tunjuk rakyat sokong dia. Yang RM1
juta itu dari seorang sahaja yang bagi bukan 10,000 orang. Cuba kita
tengok apa motif dia.
"Lagipun satu lagi ini nak buat rakyat keliru pasal RM1 juta kononnya
untuk ikat jamin, macam saya katakan tadi itu bukan kerajaan nak pegang,
dah habis kes nanti akan diserahkan kembali. RM1 juta itu hanya untuk
pastikan dia tidak boleh larikan diri," katanya lagi.
Guan Eng pada Rabu didakwa dibawah Seksyen 23 Akta Suruhanjaya
Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kerana membenarkan permohonan
pengezonan semula lot pertanian kepada lot perumahan milik syarikat
Phang Li Koon, Magnificent Emblem Sdn Bhd; dan Seksyen 165 Kanun
Keseksaaan kerana membeli hartanah pada harga bawah nilai pasaran.
No comments:
Post a Comment