Jangkaan mengenai personaliti wanita ini yang kurang peramah agak tersasar jauh. Ditambah pula dalam gemerlapan populariti yang dilimpahinya bukan
sedikit, Datuk Seri Dr. Hasmiza Othman melangkaui apa yang disangkakan
pada awal pertemuan.
Sebelum ini, nama wanita berusia 43 tahun ini asyik disebut-sebut.
Gara-gara melabur RM3 juta untuk menaja Anugerah Juara Lagu ke-29
(AJL29), impaknya produk beliau, Qu Puteh menjadi fenomena yang luar biasa.
Namun,
Hasmiza yang popular dengan gelaran Datuk Vida itu tidak dapat lari
daripada menjadi kutukan segelintir masyarakat apabila dia dituduh gila
glamor apabila mengiklan diri dan produknya secara berlebihan ketika
siaran langsung AJL29.
Apatah lagi dengan tanggapan suka menunjukkan kemewahan barang
kemas dan baju mahal, Ketua Pegawai Eksekutif, Vida Beauty Sdn. Bhd.
ibarat tidak bernyawa apabila diserang dari kanan dan kiri.
"Memang susah buat saya kerana gaya hidup saya sangat bertentangan
dengan anggapan orang ramai dan apa yang mereka lihat di kaca
televisyen.
"Saya sebenarnya seorang yang sederhana di rumah dan di pejabat.
Saya bukan suka sangat nak pakai baju manik merlip dan muncul dengan
penampilan sebegitu.
"Semuanya saya lakukan kerana identiti untuk produk saya promosi.
Saya kena ada kelainan penampilan, baru orang ingat jenama produk saya,"
katanya tersenyum manis.
Kata ibu kepada empat anak ini, dia sebenarnya tidak kisah untuk
membeli apa jua barang walaupun tidak berjenama asalkan nampak cantik
dan sedap mata memandang.
"Saya juga jenis tidak kisah makan di mana-mana. Gerai bawah pokok
saya pergi hari-hari kalau sudah sedap. Pernah saya ketagih sangat
dengan nasi vanggey.
"Buat apa nak malu. Saya pun tidak obses dengan kereta sport mewah.
Cukup sebuah kereta yang selesa untuk saya berjalan jauh dan dapat
berehat dan tidur sekejap," katanya bersungguh-sungguh dalam nada yang
penuh teruja ketika ditemui ibu pejabat Vida Beauty di Ipoh, Perak
baru-baru ini.
Menyambung perbualan yang semakin rancak, Hasmiza memberitahu
kesukaran hidupnya melalui pelbagai pahit getir untuk berada pada tahap
hari ini mengajarnya untuk tidak meninggi diri.
Wanita kelahiran Machang, Kelantan ini jujur mengakui dia lahir
dalam keluarga berada sebelum menjadi anak yatim pada usia sembilan
tahun kerana kematian bapa.
"Saya dan ibu hilang punca rezeki ketika itu secara tiba-tiba. Jadi
bermula dari situ, saya mengenal apa itu bisnes. Asal yang boleh dapat
wang saku, saya buat.
"Saya pernah jual nasi lemak orang, untung dapat 30 sen. Saya
bersyukur sangat duit itu saya lama-lama kumpul dapat beli motosikal.
"Ini kerana saya selalu fikir saya bila hendak sekolah naik bas
ketika di sekolah menengah waktu itu," katanya yang bersemangat
bercerita tentang kisah zaman persekolahannya.
Jelasnya, lebih menyedihkan apabila ibunya terpaksa menjual
sebidang tanah untuk menyara kos perbelanjaannya di Universiti Sains
Malaysia.
Kata anak tunggal dalam keluarga itu, harga tanah itu dijual pada
harga RM13,000 dan hari ini harga tanah itu melambung kepada RM150,000.
"Tapi baru tahun pertama saya sudah habis RM5,000. Bayar yuran,
beli buku dan sara kos sara hidup. Jadi saya mula berfikir kena cari
duit saku.
"Saya mula jual macam-macam kepada pensyarah dan kakitangan
universiti. Saya bawa kain telekung, batik dan macam-macam barang lagi
dari Kelantan.
"Pernah waktu cuti semester, saya pergi kerja kilang selain kerja
sambilan di restoran segera, Kentucky Fried Chicken," katanya yang tidak
malu untuk mencari duit bagi menampung kos pelajarannya.
Sebagai pemegang Sarjana Muda Pendidikan (Kesusasteran Melayu dan
Sejarah), Hasmiza turut tampil berkongsi pengalaman menjadi guru di
sekolah Cina selama 12 tahun di Ipoh, Perak.
"Orang cakap kalau jadi cikgu tidak boleh meniaga, saya gelisah
waktu itu. Saya memang boleh demam kalau tidak berniaga. Jadi tahun
pertama jadi guru, saya sambung buat Sarjana dahulu sebelum meneruskan
pengajian Doktor Falsafah secara jarak jauh," katanya rancak bercerita.
Seterusnya, akibat jiwanya memberontak mencuba karier yang lebih
mencabar, Hasmiza memilih perniagaan salon sebagai destinasi kerjaya
pilihan.
Dari situlah dia mula membuat pelbagai produk kecantikan bagi memenuhi keperluan pelanggan di salon bagi rawatan wajah.
Apatah lagi, ketika itu kira-kira 15 tahun yang lalu, gelombang
produk kecantikan dari luar mendapat permintaan tinggi menyebabkan dia
berani menghasilkan produk kecantikan sendiri secara kecilan.
Seterusnya, rezeki berpihak kepada dirinya apabila mula mengorak
langkah panjang dalam kariernya dengan menjadi tenaga pengajar di Majlis
Latihan Vokasional Kebangsaan (MVLK).
Mendapat wang tertunggak sebanyak RM500,000, dia memberani diri membeli iklan untuk mempromosi produknya itu.
Namun akhirnya akibat salah mengiklan, dia mengalami kerugian besar apabila produk langsung tidak mendapat sambutan.
"Rasanya sudah berjuta saya rugi akibat menaja dan buat iklan yang
tidak menjadi. Sebab itu bila saya nak taja AJL29 dan Gegar Vaganza,
saya sudah tekad, stesen tv kena ikut cara saya.
"Saya yang bagi idea semua sebab saya sudah belajar dari kesilapan
lalu. Biasanya saya berdoa tidak kira waktu dan tempat sebanyak 20 kali
sehari. Tapi waktu taja AJL29, saya berdoa lebih 50 kali. Saya reda dan
tawakal.
"Dan Alhamdulillah, iklan saya menjadi dan jadi sebutan ramai.
Permintaan dan jualan melonjak hari-hari sampai saya kehabisan stok dan
terpaksa mengagihkan produk kepada stokis secara kuota," katanya serius.
Vida Beauty kini memiliki lebih 400 stokis di seluruh negara
termasuk di Brunei dan Singapura dengan menggajikan kakitangan seramai
130 orang.
Tujuh tahun lalu, bisnes Hasmiza melonjak tinggi gara-gara keberanian memperkenakan minuman kesihatan di bawah jenama Pamoga.
Produk yang menjadi fenomena itu membolehkan dia berubah sekelip
mata menjadi jutawan sehingga mampu membina Wisma Vida Beauty yang
tersergam indah dan mewah di bandar Ipoh.
Apabila ditanya hasil di sebalik semua kejayaan itu, wajah wanita
yang nampak tegas namun peramah itu tiba-tiba menjadi sangat ceria.
Katanya, dia gembira dan bersyukur kerana dapat membantu masyarakat
yang mengalami masalah kesihatan untuk kembali menjalani kehidupan
seperti biasa.
"Sebanyak 98 peratus testimoni Pamoga kembali pulih seperti biasa
dan yang buat saya gembira, apabila mereka dapat kembali bersolat dengan
sempurna dan ada yang tidak perlu dijaga lagi oleh anak-anak setelah
sakit sekian lama.
"Selain itu, saya juga mahu kejayaan di dunia dan akhirat.
Berkongsi rezeki dengan mereka yang kurang berkemampuan, itu yang lebih
memberi kepuasan," katanya yang malu-malu bercerita tentang sekolah
pondok miliknya selain kesanggupannya menaja beberapa rumah anak yatim
dan sekolah tahfiz.
Emosi sedih Hamza semakin larut apabila diminta berkongsi kenangan pahit sepanjang 15 tahun bergelar usahawan berjaya.
Wanita ini berkata, kehidupannya bagaikan musnah apabila hilang dua
anak yang meninggal dunia dalam kebakaran di rumah pekerja syarikat
pada 5 Ogos 2013.
Lebih menyayat hati, dua anaknya Eddie Zuhdi, 11, dan Edrie Zikri,
10, pergi mengadap Ilahi pada 25 Ramadan, lima hari sebelum umat Islam
menyambut 1 Syawal.
Dua lagi anaknya, Edlin Zamilin dan Eric Zaquan yang kini berusia
10 dan lapan tahun menjadi penyeri hidupnya untuk mengusung sisa duka
yang belum hilang ke hari ini.
Bercerita mengenai arwah dua puteranya itu, naluri keibuan wanita ini cukup terserlah.
"Dua arwah anak saya itu hendak sangat berjumpa malam lailatulqatur
dan selalu doa nak masuk syurga tertinggi. Saya menangis 40 hari dan
bertahlil di ruang tempat mereka tidur.
"Namun saya sudah ada isyarat sebelum kejadian itu kerana suka
bermurung. Bila saya terima berita, saya cuma terdiam dan reda. Ada
orang cakap ini saham untuk saya di akhirat nanti," katanya sayu.
Berkahwin kali ketiga pada Oktober tahun lalu, jelas ada gerimis
yang bertandang di wajah wanita ini biarpun bibir sentiasa menguntum
senyuman.
Kurang selesa bercerita hal peribadi, barangkali ramai yang tidak
tahu Hasmiza bergelar ibu tunggal selama lapan tahun sebelum berkahwin
kali kedua Januari tahun lalu.
Derita yang dia tidak tahu kepada siapa boleh diluahkan apabila diceraikan selepas tiga bulan mengecapi alam perkahwinan.
Barangkali air mata wanita ini sudah kering untuk ditangisi. Dia
sudah puas menanggung derita sebelum berada di puncak pada hari.
Justeru, kata nista yang dilempar gara-gara menaja AJL29 langsung tidak meninggalkan kudis buat dirinya.
"Saya cuma berharap dapat memberi sumbangan yang cukup kepada mereka yang kurang bernasib baik.
"Kehilangan dua anak membuatkan saya hendak kaya dan bahagia di
dunia dan akhirat. Itulah yang saya perjuangkan hari ini dalam
perniagaan," luahnya yang melengkapkan pandangan sebagai seorang wanita
yang istimewa di mata saya. - MalaysiaGazette
No comments:
Post a Comment