KUALA LUMPUR: Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Pandikar Amin Mulia
pada Rabu mengingatkan petugas media dan pihak luar yang memasuki
Parlimen supaya mematuhi peraturan sidang akhbar di bangunan Parlimen.
Beliau berkata mereka perlu menghormati keputusan yang dibuat sebelum
ini yang menetapkan ruang sidang akhbar di lobi Parlimen hanya untuk
kegunaan anggota Parlimen.
Katanya peraturan tersebut masih berkuat kuasa dan beliau meminta
mana-mana pihak selain anggota Parlimen supaya tidak mengaturkan
sebarang sidang media atau membuat kenyataan kepada media di kawasan
berkenaan.
"Saya tidak akan berkompromi, sesiapa yang tidak berhak untuk buat
kenyataan akhbar di situ, saya ingin ingatkan peraturan itu masih ada.
Saya serius tentang hal ini," katanya bagi menjawab pertanyaan Sim Tong
Him (DAP-Kota Melaka) yang meminta penjelasan mengenai sidang media
seorang peguam di lobi Parlimen, Khamis lepas.
Sim ingin adakah peraturan tersebut masih berkuat kuasa.
Pandikar Amin turut mengingatkan petugas media agar tidak meminta
respons terhadap sesuatu isu secara 'hendap' daripada orang ternama yang
berada di bangunan Parlimen.
"Kita faham kadang-kadang ada pihak luar ini tidak boleh kawal daripada
memberi respons. Wartawan pun bawa mikrofon terus minta respons itu
ini, saya ingatkan jangan lakukan begitu lagi," katanya.
Beliau berkata sekiranya peraturan tersebut masih tidak dipatuhi,
beliau tidak teragak-agak untuk memanggil editor akhbar yang terlibat
dengan liputan Parlimen.
Pada November 2012, Pandikar mengisytiharkan ruang sidang akhbar di
bangunan Parlimen, adalah khas dan eksklusif untuk anggota Parlimen
sahaja berkuat kuasa serta-merta berdasarkan Peraturan Mesyuarat 93 dan
94.
Beliau berkata orang luar yang masuk ke Parlimen dilarang menggunakan
fasiliti itu untuk membuat apa sahaja kenyataan atau sidang akhbar
walaupun ditemani oleh anggota Parlimen.
No comments:
Post a Comment