BERNAMA
Ketua Penerangan Umno Bahagian Cheras
mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas
pertuduhan pecah amanah melibatkan cek berjumlah RM4,350, dua tahun
lalu.
Zamri Redzuan @ Ridzwan, 50, yang juga Ketua Umno Cawangan Jalan
Pasar Pudu, Cheras, dalam kapasitinya sebagai Ketua Umno cawangan itu
diamanahkan ke atas akaun cawangan itu, didakwa melakukan pecah amanah
terhadap akaun tersebut dengan memasukkan cek berjumlah RM4,350 ke dalam
akaunnya.
Wang itu sepatutnya dibayar kepada tukang jahit (Mun Men's Wear) tetapi tidak dibayar.
Tertuduh yang bekerja sebagai peniaga kedai perabot didakwa melakukan
kesalahan itu di daerah Cheras, di sini pada 27 Jan 2014 mengikut
Seksyen 409 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum
20 tahun dengan sebatan serta boleh didenda, jika sabit kesalahan.
Hakim Mohd Nasir Nordin membenarkan Zamri diikat jamin RM8,000 dengan
seorang penjamin dan menetapkan syarat tambahan iaitu tertuduh perlu
menyerahkan pasport kepada mahkamah.
Mahkamah menetapkan 22 April untuk sebutan semula kes dan lima hari dari 9 hingga 13 Mei untuk perbicaraan.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah
Malaysia (SPRM) Khairul Anwar Wahab memberitahu mahkamah bahawa pihaknya
akan memanggil lapan saksi dalam perbicaraan itu.
Khairul Anwar juga menawarkan wang jaminan RM15,000 dan memohon
mahkamah menetapkan syarat tambahan iaitu tertuduh perlu menyerahkan
pasport kepada mahkamah.
Peguam Mohd Baharuddin Ahmad Kassim yang mewakili tertuduh
bagaimanapun memohon mahkamah mengurangkan jumlah itu dengan alasan anak
guamnya baharu sahaja dimaklumkan mengenai pertuduhan yang dihadapinya
dan hanya mampu menyediakan wang RM7,500.
"Anak guam saya juga memberi kerjasama baik sepanjang siasatan SPRM,
beliau tidak ingkar dan hadir ke mahkamah hari ini," katanya dan
menambah tertuduh juga merupakan penanggung utama isteri, empat anak dan
ibu bapa yang sudah tua.
No comments:
Post a Comment