Mana-mana pemimpin PAS yang berhasrat menggantikan Datuk Seri Abdul Hadi Awang sebagai presiden diminta bertanding bagi merebut jawatan tersebut pada muktamar parti itu akan datang.
Timbalan Presiden PAS Datuk Tuan Ibrahim Tun Man berkata demikian ketika diminta mengulas desakan ADUN Salor, Datuk Husam Musa yang menuntut supaya Abdul Hadi meletak jawatan.
“Saya tak suka sebut nama dalam kenyataan saya. Tapi dia (Husam) dulu bertanding naib, bermakna kalau dia menang jawatan tersebut sekali pun presiden parti tetap Abdul Hadi.
“Begitu juga dengan Mat Sabu bertanding jawatan timbalan presiden tetapi katakanlah dia menang, presiden PAS tetap Abdul Hadi.
“Kalau dia (Husam) tak setuju dengan presiden, beliau sepatutnya bertanding jawatan presiden,’ kata pesuruhjaya PAS Pahang itu dalam temubual eksklusif bersama Malaysiakini.
Husam sebelum ini mencadangkan Tuan Ibrahim yang juga bekas ADUN Jengka mengambil alih kepimpinan sebagai presiden parti manakala Abdul Hadi pula perlu berundur dan menjadi Mursyidul Am atau Timbalan Mursyidul Am.
Menurut Husam, perkara itu pernah berlaku sebelum ini apabila bekas Presiden PAS, Yusof Rawa dilantik menjadi Mursyidul Am manakala jawatan pemangku presiden diberikan kepada Datuk Fadzil Mohd. Noor pada 1989.
Mengulas lanjut, Tuan Ibrahim berkata tidak timbul soal mengapa mereka perlu menyerang kepimpinan presiden.
“Jadi tak timbul soal apabila kita kalah, kita kena serang presiden. Kerana kalau mereka menang sekali pun mereka masih dan tetap berpayung di bawah pentadbiran presiden,” tegas Tuan Ibrahim.
Sebelum ini Naib Presiden PAS, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah dilapor menyindir dengan mengatakan Husam adalah individu paling layak menggantikan Abdul Hadi sebagai pesiden parti Islam itu.
Mohd turut mempersoalkan mengapa Husam tidak bertanding jawatan tersebut dalam muktamar lalu memandangkan bekas Exco Kelantan itu antara calon yang paling “layak” menduduki tampuk kepimpinan PAS.
No comments:
Post a Comment